13 Suspek Kes Bunuh Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mengaku Tidak Bersalah...

13 Suspek Kes Bunuh Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mengaku Tidak Bersalah Di Mahkamah Tinggi Tawau

0
SHARE
Gambar Hiasan...

TAWAU, SABAH – 13 suspek yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan membunuh seorang pelajar di kolej yang sama pada 22 Mac lalu.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Duncan Sikodol.

Mengikut fakta kes pertuduhan, kesemua tertuduh yang berusia 16 hingga 19 tahun didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Nazrul Azwan, 17 tahun di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam, 21 Mac hingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac lalu.

Ekoran itu, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 24 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Sembilan daripada tertuduh diwakili peguam Kamaruddin Mohamad Chinki, Datuk Ram Singh, Amirul Amin Rashid dan Chen Wen Jye.

Seorang lagi tertuduh diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan kes akan berlangsung selama 10 hari, iaitu pada 18 hingga 22 November dan 25 hingga 29 November 2024.

Dalam prosiding yang sama, mahkamah turut dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan menampilkan 10 hingga 12 saksi sepanjang perbicaraan yang akan datang.

Pada 22 Mac lalu, media melaporkan penemuan mayat Mohd Nazmie Aizzat di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu dengan kecederaan di beberapa anggota badan.