Keningau Anjur Festival Dan Karnival Mega Jun Ini

Keningau Anjur Festival Dan Karnival Mega Jun Ini

0
SHARE

KENINGAU: Daerah Keningau bakal mencipta sejarah dengan penganjuran bersama dua acara utama negeri, The Crocker Range Festival Musim Kelapan dan Karnival PMKS Zon Keningau 2025, yang berlangsung dari 26 hingga 29 Jun di Dataran Keningau.

Acara empat hari bertemakan sinergi budaya dan keusahawanan ini dijangka menjadi antara program pelancongan dan komuniti terbesar di pedalaman Sabah, menghimpunkan elemen seni, budaya dan keusahawanan tempatan.

Pegawai Daerah Keningau, Peter J. Moinjil dan Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, bersama wakil kementerian berkaitan, telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan acara pada 16 Jun lalu.

Menurut Rafie, festival ini mempromosikan Keningau sebagai destinasi pelancongan baharu, manakala karnival PMKS memberi tumpuan kepada pengembangan pasaran usahawan tempatan.

Gabungan ini diyakini mampu memberi impak besar kepada pelancongan dan ekonomi setempat selaras dengan Pelan Strategik Sabah Maju Jaya.

Majlis perasmian rasmi akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 28 Jun jam 10 pagi.

Orang ramai dari seluruh Sabah dijemput hadir memeriahkan acara ini sebagai lambang perpaduan dan semangat keusahawanan rakyat negeri ini.