PUTATAN: Dua insiden kebakaran besar yang berlaku dalam tempoh kurang 10 jam di daerah ini yang mencetuskan suasana cemas dan memilukan apabila sebanyak 15 buah rumah jenis separuh kekal musnah, bersama 12 kenderaan pelbagai jenis selain, dua anggota bomba turut cedera dalam operasi memadam kebakaran tersebut.
Memetik laporan Bomba Sabah, kebakaran pertama dikesan pada jam 4.00 petang Isnin lalu di Kampung Petagas, di mana seramai 24 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran dikejarkan ke lokasi sejauh 5 kilometer dari balai.
“Api yang marak memusnahkan 9 buah rumah sepenuhnya, manakala 4 rumah lain turut mengalami kerosakan antara 10 peratus hingga 20 peratus.
“Enam buah kenderaan turut rentung dalam insiden ini, termasuk dua Perodua Kancil, sebuah Suzuki Swift, Suzuki Jimny, Toyota Hiace dan Proton Satria,” katanya dalam satu kenyataan.
Tragedi ini turut mencederakan dua anggota bomba yang mana seorang terkena renjatan elektrik manakala seorang lagi mengalami serangan heatstroke. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan dan dilaporkan stabil.
Operasi kawalan api menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki serta empat pancutan, dengan bantuan sumber air dari jentera bomba, tanker dan sungai berdekatan. Api berjaya dikawal pada jam 4.55 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.31 tengah malam.
Tidak lama selepas itu, satu lagi kebakaran dilaporkan di Jalan Bukit Vor pada jam 12.59 tengah malam, hanya beberapa kilometer dari lokasi kebakaran sebelumnya.
Dalam kejadian itu, dua rumah musnah sepenuhnya. Selain itu, enam kenderaan turut terbakar termasuk Perodua Alza, Ford Fiesta, Mercedes Benz, Isuzu D-Max dan dua buah motosikal. Anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sebanyak 29 anggota dari BBP Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang dikerahkan ke lokasi dengan kekuatan jentera CFRT, FRT, LFRT, Tanker dan RIM.
Operasi kawalan api menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dan tiga pancutan air berjaya memadamkan kebakaran dalam masa setengah jam, seterusnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.27 pagi.
Kedua-dua operasi diketuai Komander Operasi PBK I Zainudin bin Saidi, dengan kerjasama agensi luar termasuk PDRM, Sabah Electricity, Jabatan Air dan APM.
Pegawai Kanan Zon, PPgB Riki Mohan Singh menyatakan kebakaran besar secara berturutan ini merupakan satu ujian besar kecekapan pasukan bomba dalam mengatur kekuatan logistik dan tenaga kerja.
Katanya, tindakan pantas dan berani anggota bomba berjaya menyelamatkan kawasan sekitar daripada terus merebak.
Pihak bomba menasihatkan orang ramai agar sentiasa memeriksa sistem pendawaian, mengelakkan penggunaan soket berlebihan serta memastikan laluan keluar masuk tidak dihalang terutama di kawasan perumahan padat dan jenis separuh kekal.
Insiden tragis ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa, dan persiapan serta kesedaran awam adalah kunci utama dalam mencegah kemusnahan lebih besar.






