STAR Tanding Guna Logo Sendiri, Lancar Gerakan “Sabah untuk Sabahan”

STAR Tanding Guna Logo Sendiri, Lancar Gerakan “Sabah untuk Sabahan”

0
SHARE
Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, Presiden Parti STAR

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, mengesahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dengan menggunakan lambang parti sendiri.

Jeffrey menegaskan keputusan itu dibuat atas dasar prinsip dan bukan kuasa.

Beliau menekankan bahawa Sabah mesti dipimpin oleh anak jati negeri yang patriotik, berjiwa Sabahan dan benar-benar mencintai tanah air.

“Sabah berhak dipimpin oleh pemimpin yang berani memperjuangkan hak negeri ini, bukan mereka yang tunduk kepada arahan parti dari Malaya,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, rakyat Sabah telah lama dijanjikan pelbagai bentuk autonomi dan pembangunan, namun banyak janji masih tidak ditunaikan.

“Oleh itu, STAR akan memperjuangkan ekonomi yang berpaksikan kepada rakyat, khususnya petani, peniaga dan belia,” katanya.

STAR turut melancarkan Team S4S (Sabah for Sabahans) – satu gerakan penyatuan rakyat Sabah yang berjiwa patriotik, bagi membentuk kerajaan negeri yang benar-benar berteraskan “Sabah untuk Sabahan”.

Jeffrey berkata, inisiatif itu juga akan diperluas ke peringkat Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum 2027 bagi memastikan suara Sabah lebih lantang di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

“Walaupun mengutamakan perjuangan tempatan, STAR tetap terbuka bekerjasama dengan parti persekutuan selepas PRN asalkan ia berasaskan hormat-menghormati dan tidak mengorbankan hak serta autonomi Sabah.

“Gerakan ini bukan sekadar kempen politik tetapi permulaan babak baharu untuk mengembalikan maruah dan keadilan kepada rakyat Sabah,” tambahnya.

Jeffrey menyeru rakyat Sabah bersatu dan menolak “mentaliti penjajah” yang masih melihat Sabah sebagai wilayah tanggungan, sambil mengingatkan bahawa masa depan generasi akan datang bergantung pada pilihan rakyat dalam PRN kali ini.