KOTA KINABALU, 7 Oktober – Bidang pendidikan di Sabah terus diperkasa melalui pelaksanaan 16 program bantuan bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan perdana.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Md. Hanafiah Md. Kassim berkata pelbagai bentuk inisiatif telah dilaksanakan merangkumi bantuan kewangan, kemudahan pengangkutan, penyediaan peralatan pembelajaran seperti komputer riba, serta penyelenggaraan sekolah.
“Program ini telah dilaksanakan secara berfasa sejak awal tahun, melibatkan 16 bentuk bantuan pendidikan.
“Usaha ini telah dijalankan sejak empat hingga lima tahun lalu, dan kita terus memantau bagi menambah baik cara kita berkhidmat kepada anak-anak pelajar,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama di majlis itu, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Pendidikan dan Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Jelas Hanafiah, pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang amat penting bagi membina generasi pelapis negeri.

“Kita sedia maklum tahap pendidikan di Sabah masih ketinggalan sedikit berbanding negeri lain. Sebab itu, bantuan ini perlu diteruskan demi masa depan pelajar dan generasi baharu negeri ini.
“Pendidikan ialah pelaburan paling penting kerana anak muda inilah yang akan menjadi pemimpin masa depan apabila kita semua bersara kelak,” jelasnya.
Beliau menambah, sekiranya bajet tambahan diluluskan, lebih banyak inisiatif baharu akan diperkenalkan tahun hadapan.
Antara program utama yang dilaksanakan termasuklah bantuan penyelenggaraan sekolah daif di bawah peruntukan kecil (di bawah RM50,000), sokongan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta pembayaran yuran pelajar Tingkatan Enam.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, berkata prestasi pendidikan di negeri ini menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Daripada 14 daerah, 10 daerah berjaya mencapai Gred Purata Daerah (GPD) di bawah 5.00 dalam peperiksaan SPM. Kejayaan ini hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kementerian Pendidikan, guru dan ibu bapa,” katanya.
Raisin menegaskan, sokongan berterusan kerajaan negeri akan menjadi pemangkin kepada landskap baharu pendidikan Sabah yang menekankan pembangunan holistik serta kecemerlangan pelajar.

Dalam majlis itu, Md. Hanafiah turut menyampaikan beberapa inisiatif termasuk Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Sekretariat Mahasiswa Sabah (SEMESTA), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Penyerahan Simbolik Bantuan Pendidikan kepada JPNS, Penghargaan Kerjasama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (PTSKN-TTK) serta Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).






