KOTA KINABALU, 7 Oktober – Kesan darah yang ditemui pada beberapa lembaran kertas bertulis tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir disahkan sepadan dengan profil DNA gadis berusia 13 tahun itu, kata seorang ahli kimia forensik di Mahkamah Koroner, di sini hari ini.
Saksi ke-17, Nor Aidora Saedon, 52, dari Jabatan Kimia Malaysia, memberitahu mahkamah bahawa analisis ke atas kertas bertanda Y1 dan Y8 mendapati kesan darah pada kedua-dua dokumen itu sepadan dengan DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang mangsa.
“Kesan darah pada kedua-dua kertas berkenaan konsisten dan menunjukkan DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurutnya, ujian lanjut turut mendapati DNA Zara Qairina dikesan pada beberapa barangan peribadi lain termasuk buku, beg alat tulis dan selimut, yang semuanya dikemukakan sebagai bahan bukti dalam prosiding inkues tersebut.
Nor Aidora berkata, profil DNA bercampur juga diperoleh daripada beberapa sampel lain seperti kertas bertanda Y8(i) dan beg alat tulis WK1(a), dengan Zara Qairina dikenal pasti sebagai penyumbang utama dalam campuran itu.
“Penyumbang minor dalam campuran DNA berkenaan tidak dapat dikenal pasti secara muktamad,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua bahan bukti diterima dalam keadaan bertutup dan utuh daripada pihak polis sebelum proses analisis dijalankan di Makmal DNA Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.
Nor Aidora menambah, proses pemprofilan DNA dijalankan menggunakan 21 lokus genetik bagi menghasilkan profil unik setiap individu, dan hasil analisis mendapati semua kesan darah pada kertas bertulis tangan itu berpunca daripada mangsa sendiri.
“Sepanjang proses analisis, barang bukti berada di bawah pengawasan saya dan tiada sebarang usikan dikesan,” katanya.
Sebelum ini, pemeriksa dokumen Nurul Atiqah Mohd Noh dari jabatan sama mengesahkan bahawa tulisan tangan pada beberapa dokumen bertanda Y1 hingga Y15 serta W1 dan W2 adalah konsisten dengan tulisan tangan milik Zara Qairina.
Prosiding inkues diteruskan bagi menentukan punca sebenar kematian remaja berkenaan.






