TAMBUNAN: Pengasas Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Cyril P. Yansalang, mendakwa tindakan pengurusan tertinggi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menganjurkan sesi libat urus bersama Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) sebagai satu bentuk penghinaan terhadap Mahkamah.
Menurutnya, langkah diketuai Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin dan Ketua Pentadbir, Mohd Faizal Mohd Jakir, bercanggah dengan proses kehakiman sedang berjalan melibatkan penggantungan perlembagaan NAFAS yang kini dalam semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Oktober ini.
Cyril berkata, tindakan meneruskan program NAFAS 2.0 ketika perlembagaan masih digantung menimbulkan persoalan terhadap kesahihan semua keputusan pengurusan.
Katanya, sejak 1 November 2024, NAFAS berada di bawah moratorium dan penggantungan akibat konflik dalaman, namun tiada penambahbaikan ketara berlaku.
Beliau turut mempersoalkan kedudukan Pengurus Besar NAFAS yang kekal berkuasa penuh walaupun Ahli Jemaah Pengarah tidak berfungsi, sekali gus membolehkan keputusan kewangan dibuat tanpa semakan dan imbangan.
Cyril menjelaskan, sesi libat urus itu tidak mencerminkan suara sebenar ahli peladang kerana dihadiri pengurus besar yang bukan pemegang saham.
“Ahli peladang tidak diberi ruang berbahas atau mengundi, dan sesi itu hanya komunikasi sehala yang boleh dimanipulasi,” katanya.
Beliau menegaskan, hanya Mesyuarat Agung layak membincangkan sebarang pindaan atau perubahan peraturan NAFAS secara sah.
Sesi libat urus Zon Borneo dijadual pada 9 Oktober di Raia Hotel, Kuching, berdasarkan surat jemputan NAFAS bertarikh 3 Oktober.
Cyril turut mempersoalkan kewujudan dua versi surat jemputan dengan tarikh dan rujukan sama, yang menimbulkan keraguan terhadap ketelusan urus tadbir.
Beliau menggesa PPN yang terlibat agar membuat laporan kepada polis dan pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri, sambil mengingatkan bahawa NAFAS adalah milik peladang, bukan individu atau kumpulan tertentu.
“Jangan khianati amanah peladang. Hari ini mungkin mereka berkuasa, tetapi suatu hari nanti, tindakan undang-undang pasti menanti mereka yang menyalahgunakan kuasa,” katanya.






