KOTA KINABALU: Calon PKR bagi kerusi Api-Api, Thonny Chee, menepis dakwaan bahawa beliau berdepan halangan bahasa dengan komuniti Cina yang membentuk kumpulan besar pengundi di kawasan itu.
Beliau berkata beliau mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sambil giat mempelajari bahasa Mandarin dan Hakka.
Mengulas kenyataan pihak tertentu yang mempersoalkan penguasaan beliau dalam bahasa Cina, Chee berkata kritikan sedemikian meremehkan kemampuan linguistik masyarakat Cina di Sabah.
“Mereka yang bangkitkan isu ini seolah-olah menganggap komuniti Cina tidak bijak. Di Api-Api, komuniti Cina fasih bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Saya boleh berkomunikasi dengan mereka tanpa masalah dalam dua bahasa itu,” katanya selepas sesi walkabout di Kampung Air pada Isnin.
Chee menambah bahawa walaupun beliau masih mempelajari Mandarin dan Hakka dengan bantuan tutor bahasa, beliau lebih mengutamakan komunikasi yang jelas berbanding mencuba frasa tertentu dalam bahasa Cina yang mungkin disalah tafsir kerana perbezaan nada.
“Bahasa Cina ada tona. Walaupun sebutannya sama, sedikit perubahan nada boleh beri maksud lain. Daripada tersilap sebut, lebih baik saya gunakan bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris yang mereka sudah faham,” katanya.
Beliau berkata pasukan kempen juga mencerminkan kepelbagaian budaya di Api-Api, dengan pengurus kempen berbangsa Cina dan pengarah kempen berbangsa Melayu. Beliau berkata pengundi Cina membentuk kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Mengenai isu belia, Chee berkata walaupun Undi18 telah menambah jumlah pengundi muda, Api-Api masih mempunyai bilangan pengundi berusia yang besar. Daripada lebih 17,000 pemilih, sekitar 7,000 berusia 60 tahun ke atas.
“Itu sebab kerajaan negeri perlu seiring dengan kerajaan persekutuan. Kementerian seperti Sains, Teknologi dan Inovasi serta Perdagangan, Pelaburan dan Industri ada banyak program untuk anak muda dan usahawan. Dengan adanya para menteri ini, saya boleh cari lebih banyak idea untuk bantu belia di Api-Api,” katanya.






