KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Isnin telah memulakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas peringkat pegawai bagi meneliti semula nilai Pemberian Khas Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, susulan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.
Mesyuarat yang diadakan di sini itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong mewakili Kerajaan Negeri, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican mewakili Kerajaan Persekutuan.
Turut serta bagi pihak Kerajaan Persekutuan ialah Pengarah Belanjawan Negara, Dato’ Sri Ab Rahim Ab Rahman; Timbalan Pengarah Belanjawan Negara, Zulkhairil Amar Mohamad; Ketua Bahagian Penyelidikan Jabatan Peguam Negara, Marzaitul Azura Mokhtar; Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah & Sarawak, Mohd Saiful Sungkih Abdullah; serta Pegawai Kewangan Persekutuan, Norali @ Ag Norali Ag. Damit.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, hadir Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh; Penasihat Undang-Undang kepada Ketua Menteri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Jasmine Teo; Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Kementerian Kewangan Sabah, Chee Shok Ting; Timbalan Peguam Besar Negeri I, Datuk Dgku Fazidah Hatun Pg. Bagul; Setiausaha Rendah Bahagian Cukai Jualan Negeri, Evina Brenda Majimbun; dan Pegawai Undang-Undang Kanan Jabatan Peguam Besar Negeri, Mohd Ikhwan Ramlan.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak bersetuju bahawa mesyuarat tersebut merupakan permulaan yang positif dan konstruktif menuju penyelesaian berhubung kadar baharu Pemberian Khas Sabah berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah turut menegaskan komitmen untuk meneruskan perbincangan secara progresif dengan semangat kerjasama, saling menghormati serta pertukaran data dan maklumat kewangan yang diperlukan.
Kedua-dua pihak juga menyatakan keyakinan bahawa rundingan ini akan menjadi landasan kukuh ke arah mencapai penyelesaian yang memanfaatkan Sabah dan Persekutuan.






