Para Badminton Sabah Buru Dua Emas, Selangor dan Melaka Pencabar Utama

Para Badminton Sabah Buru Dua Emas, Selangor dan Melaka Pencabar Utama

0
SHARE
Pasukan jurulatih dan atlet para badminton ketika ditemui wartawan Sabah News…

KOTA KINABALU: Skuad Para Badminton Sabah menyasarkan dua pingat emas pada temasya Para SUKMA XXI Selangor 2026 dengan Selangor dan Melaka dikenal pasti sebagai pencabar utama dalam misi merealisasikan sasaran berkenaan.

Ketua Jurulatih Para Badminton Sabah, Awang Hazierul berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kemampuan barisan atlet negeri serta rekod pencapaian pasukan yang konsisten meraih pingat sejak menyertai Para SUKMA pada 2014.

Kali ini kita menyasarkan untuk membolot dua pingat emas. Memang sasaran kami adalah untuk membawa pulang emas.

Bagi saingan kali ini, kita melihat Selangor dan Melaka sebagai pencabar utama,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Kontinjen Sabah yang terdiri daripada 154 atlet bagi 10 jenis sukan berlepas ke Selangor hari ini menerusi dua penerbangan masing-masing pada jam 11.30 pagi dan 12.40 tengah hari.

Para SUKMA XXI Selangor 2026 berlangsung dari 5 hingga 10 September, dengan kontinjen negeri membawa misi besar memburu 66 pingat emas.

Menurut Awang, Para Badminton Sabah mempunyai rekod pencapaian yang baik dalam beberapa edisi temasya berkenaan, bermula dengan dua pingat gangsa di Perlis pada 2014.

Pasukan itu kemudian meraih satu gangsa berpasukan pada edisi Sarawak 2016 sebelum mencatat pencapaian lebih baik dengan satu emas dan satu gangsa di Perak pada 2018.

Pada edisi berikutnya di Kuala Lumpur, Sabah membawa pulang dua perak dan satu gangsa, sebelum kembali meraih satu emas serta dua gangsa pada temasya di Sarawak.

Berbekalkan pengalaman serta pencapaian itu, Awang yakin barisan atlet Sabah mampu memberikan saingan terbaik apabila memulakan cabaran pada 6 September.

Pada masa sama, beliau berharap kejayaan bukan sahaja mampu dicapai dalam acara badminton, malah seluruh kontinjen Sabah dapat memberikan persembahan terbaik bagi merealisasikan sasaran keseluruhan 66 pingat emas pada Para SUKMA kali ini.

“Harapan kami bukan sahaja untuk pasukan Para Badminton, tetapi seluruh pasukan Sabah agar dapat memenuhi sasaran 66 pingat emas yang ditetapkan untuk Para SUKMA kali ini.

“Kami berharap semua atlet dapat bersaing dengan baik, sentiasa menjaga kesihatan dan kekal fokus sepanjang pertandingan,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Para Badminton Sabah yang juga bekas pemain di Olimpik Tokyo 2020 SH6, Didin Taresoh berkata, kontinjen badminton negeri kali ini terdiri daripada 13 anggota membabitkan 10 atlet, dua jurulatih dan seorang pengurus.

Menurutnya, jumlah itu merupakan antara penyertaan terbesar pasukan Para Badminton Sabah sejak menyertai temasya berkenaan.

“Pasukan Para Badminton Sabah tidak pernah tidak menyertai Para SUKMA sejak 2014. Kali ini kita menghantar pasukan yang agak besar iaitu 10 atlet dan keseluruhannya seramai 13 orang termasuk dua jurulatih serta seorang pengurus.

“Sepanjang penyertaan sejak 2014, pasukan kita juga sudah berjaya membawa pulang banyak pingat untuk Sabah,” katanya.