Sabah Catat KDNK Tertinggi Pasca COVID-19 pada Tahun 2024

Sabah Catat KDNK Tertinggi Pasca COVID-19 pada Tahun 2024

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah merekodkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM84.3 bilion pada tahun 2024, berbanding RM77.8 bilion pada tahun 2020, menjadikannya pencapaian tertinggi negeri itu selepas pandemik COVID-19.

Menurut beliau, pertumbuhan ini mencerminkan keberkesanan dasar fiskal kerajaan negeri yang berhemah serta sistem kutipan hasil yang efisien.

“Ia mempamerkan daya tahan ekonomi negeri meskipun berdepan cabaran global seperti ketegangan geopolitik, ketidaktentuan pasaran komoditi dan kelembapan ekonomi antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Beliau menjangkakan momentum pertumbuhan ekonomi negeri akan terus kukuh pada tahun 2025 dan 2026 dengan unjuran peningkatan sekitar 1.5 hingga 2 peratus, disokong pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Selain itu, kadar inflasi negeri juga kekal terkawal pada paras 1.2 peratus pada 2024, lebih rendah daripada kadar nasional 1.8 peratus.

Hajiji berkata pencapaian ini turut didorong oleh pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Skim Pinjaman Kredit Mikro bernilai RM2.37 juta kepada 1,210 usahawan kecil dan sederhana.

Sabah juga dijangka terus berkembang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan peruntukan pembangunan RM6.9 bilion bagi tahun 2026, manakala siling keseluruhan pembangunan negeri diluluskan sebanyak RM12.02 bilion merangkumi 1,173 projek – tertinggi dalam sejarah negeri.

Dari segi tadbir urus, kerajaan negeri memperkenalkan Polisi Amalan Baik Peraturan (Good Regulatory Practice) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan menghapuskan peraturan yang tidak efektif.

Sejak lima tahun lalu, 48 Rang Undang-Undang baharu dan pindaan telah diperkenalkan untuk menyokong objektif tersebut.

Dalam aspek integriti dan governans, penubuhan Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) pada Julai 2022 menjadi platform penting dalam memperkukuh pematuhan etika pentadbiran.

Pendigitalan perkhidmatan turut dipertingkat melalui Sabah Data Integration and Interchange Platform (Sabah DIIP) di bawah Pelan Strategik Pendigitalan Kerajaan Negeri, dengan lebih 10,000 akaun Google Workspace aktif dan 290 sistem aplikasi telah dibangunkan di seluruh Sabah.

Sektor ekonomi negeri turut menunjukkan pertumbuhan kukuh, termasuk pelaburan strategik dalam industri pertanian dan pembuatan bernilai RM24.9 bilion daripada 87 pelabur asing dan domestik antara 2021 hingga 2025.

Pelaburan besar seperti SK Nexilis (RM4.29 bilion), SBH Kibing Solar (RM3.43 bilion) dan Esteel Enterprise (RM6.59 bilion) turut membuka lebih 38,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Hajiji turut menegaskan bahawa sektor tenaga terus menjadi penyumbang utama hasil negeri menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS pada 2021.

Melalui CCA, Sabah Energy Corporation (SEC) kini mempunyai kapasiti gas domestik melebihi 250 juta kaki padu sehari dengan hasil industri mencecah RM2.5 bilion setahun, manakala SMJ Energy Sdn Bhd mencatat peningkatan nilai aset kepada RM5 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Dalam sektor pelancongan, Sabah menerima 10.67 juta pelawat dengan perbelanjaan pelancong berjumlah RM23.42 bilion antara 2021 hingga 2025.

Pertumbuhan ini disokong oleh pembangunan destinasi bertaraf antarabangsa seperti Club Med Borneo Kuala Penyu, Hotel Sheraton Kota Kinabalu dan Hyatt Centric KK, selain peningkatan kepada 207 penerbangan domestik dan 126 antarabangsa setiap minggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Dalam bidang pendidikan, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.02 bilion untuk biasiswa dan tajaan pelajaran dalam tempoh lima tahun terakhir, termasuk RM145 juta Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah pada tahun ini yang memanfaatkan lebih 12,700 pelajar, serta 37 pelajar UEC pertama yang menerima tajaan.

Bagi infrastruktur asas, perbelanjaan RM4.89 bilion disalurkan bagi menaik taraf jalan raya negeri yang kini berjumlah 22,858 kilometer, manakala kapasiti pengeluaran air terawat meningkat kepada 1,630 juta liter sehari dengan 90 loji beroperasi di seluruh negeri.

Sebanyak 18 projek air lagi dijangka siap pada 2026 dengan pembiayaan RM320.25 juta pinjaman bebas faedah Kerajaan Persekutuan.

Hajiji turut memaklumkan bahawa Majlis Tenaga Negeri Sabah telah meluluskan 11 projek tenaga baharu dengan kapasiti keseluruhan 1,219 megawatt, yang dijangka siap menjelang 2031.

Katanya, pelbagai kejayaan dalam lima tahun ini membuktikan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 telah meletakkan asas kukuh bagi kesinambungan pembangunan melalui SMJ 2.0 menuju 2030.