
SIPITANG, SABAH – Biarpun dilahirkan sebagai golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Dullah Salleh, 65, bersyukur kerana sentiasa dikelilingi orang-orang yang baik.
Jika dahulu, kecekalannya mengharungi kehidupan mendorongnya melakukan pelbagai pekerjaan namun, dek usia yang menginjak warga emas membataskan kudratnya.
Sejak itu, nama Dullah sering tersenarai sebagai penerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semasa Program Menandatangani Plak Perasmian Masjid Sahabat Sindumin – Merapok di sini, pada Sabtu.
“Alhamdulillah, sumbangan ini yang kedua saya terima daripada Tuan Yang Terutama Tun, tahun lepas dia bagi sumbangan semasa saya berangkat haji.
“Dia pesan jaga diri, kalau pergi ke mana-mana mesti bawa kawan supaya dapat tolong berjalan. Dia orangnya baik, Toh Puan hari ini pertama kali saya nampak depan-depan.
“Saya ucap terima kasih kepada Tun dan Toh Puan, bersyukur sebab selalu ada saja orang baik tolong saya. Tahun lepas, saya terima sumbangan daripada Yang Di-Pertuan Agong di sini juga,” ujar Dullah penuh kesyukuran.
Pada majlis itu, Tun Juhar menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada 100 orang asnaf dari Kampung Sindumin, Kampung Naparan, Kampung Mengalong, Kampung Lubang Buaya, Kampung Siputol, Kampung Luagan da Kampung Naluyan Mesapol. — JABATAN PENERANGAN SABAH