JIM Sabah Usir 153 PATI Indonesia

JIM Sabah Usir 153 PATI Indonesia

0
SHARE
Jim
JIM Sabah mengusir 153 PATI Indonesia melalui Depot Imigresen Tawau ( Sumber Foto: Ihsan JIM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah (JIM Sabah) menghantar pulang 153 tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Tawau melalui Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri Ke-10 pada Jumaat.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Binti Habib Yussof berkata program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Konsul Republik Indonesia (KRI) Tawau.

“Tahanan dipindahkan balik ke negara asal secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka Indonesia.

“Mereka adalah seramai 123 orang lelaki dewasa, 25 wanita dan lima orang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

“Purata umur tahanan adalah dari 6 tahun sehingga 66 tahun. Kanak-kanak yang terlibat adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sitti berkata proses pemindahan tahanan dengan iringkawal masuk sehingga ke dalam Feri Purnama Express.

“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan– Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan,” tambahnya.

Jelasnya, kekerapan program pemindahan warganegara Indonesia tertakluk dengan kerjasama strategik daripada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu dan Konsul Republik Indonesia di Tawau.

Ianya berkenaan proses pengeluaran dokumen perjalanan (SPLP – Sijil Perjalanan Laksana Paspor) bagi membolehkan tahanan terlibat dipindahkan ke negara asal.