Seramai 14 Korban Akibat Letusan Gunung Berapi Semeru

Seramai 14 Korban Akibat Letusan Gunung Berapi Semeru

0
SHARE

JAKARTA, INDONESIA – Letusan gunung tertinggi di Pulau Jawa iaitu Gunung Semeru mengakibatkan 14 orang terkorban setakat ini manakala puluhan mangsa cedera, menurut laporan stesen televisyen NDTV dan juga media tempatan.

Letusan itu yang menghamburkan abu dan awan panas semalam menyebabkan bahan vulkanik melitupi kampung-kampung berdekatan di wilayah Jawa Timur dan menjadikan situasi panik kepada penduduk di kawasan terbabit serta bertempiaran lari menyelamatkan diri mereka.

Letusan itu juga turut menyebabkan sebuah jambatan utama yang menghubungkan  dua buah kawasan di daerah Lumajang dengan bandar Malang rosak teruk. Sejumlah bangunan turut ranap, kata pihak berkuasa.

Pegawai Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari dalam satu sidang media berkata, 14 mangsa dilaporkan meninggal dunia setakat pukul 6.30 petang (waktu tempatan) semalam.

“Dua daripada mereka berasal dari Kampung Supiturang, lima mayat kini berada di Hospital Haryoto, lima mayat di Bhayangkara belum lagi dikenal pasti dan dua mayat berasal dari Kampung Sumberwuluh,” katanya.

“Seramai 35 mangsa dilaporkan cedera parah termasuk lapan daripadanya dirawat di Hospital Haryoto, 16 mangsa dirawat di Hospital Pasirian, tiga mangsa dirawat di Hospital Bhayangkara, tiga lagi dirawat di Pusat Kesihatan Penanggal. 21 lagi mangsa dilaporkan cedera ringan,’’ jelasnya.

Mangsa yang cedera akibat letusan Gunung Semeru dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut…(Sumber Foto: AFP)

Gunung Semeru yang mempunyai ketinggian lebih 3,600 meter merupakan antara 130 gunung berapi aktif di Indonesia.

Untuk rekod, gunung berapi itu pernah meletus pada Januari tahun ini tetapi tiada kecederaan dilaporkan.