KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Misha Omar tampil dengan single baharu, ‘Masihkah Ada Rasa Itu’ selepas empat tahun kemunculannya menerusi lagu Tanpa Rela pada tahun 2020.
Bakal diperdengarkan kepada umum di semua platform muzik bermula 1 Mac ini, ‘Masihkah Ada Rasa Itu’ menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena menerusi ‘Sampai Bila’, enam tahun lalu.
“Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu tersebut terus ke depan.
“Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.
“Sepanjang empat tahun itu, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu,” katanya Misha.
Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.
Misha menyifatkan Masihkah Ada Rasa Itu yang liriknya ditulis oleh Que Afiq dan ia juga merupakan hasil kolaborasi bersama dua syarikat rakaman yang amat gah di Malaysia, Sony Music Entertainment Malaysia dan Alternate Records Sdn Bhd.
Gabungan terbabit menjadikan karya itu lebih ringan dari sudut penceritaannya berbanding karya terdahulu seperti ‘Bunga Bunga Cinta’, ‘Pulangkan’ dan ‘Sampai Bila’.