KOTA KINABALU, SABAH – Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) telah mencadangkan penubuhan Dewan Seni Artis Tempatan Sabah untuk menjaga kesejahteraan artis dalam Negeri.
Timbalan Presiden Harapan Rakyat, Datuk Maijol Mahap berkata mereka merancang untuk menubuhkan dewan tersebut apabila mereka membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Beliau juga yakin bahawa cadangan tersebut akan disambut baik oleh rakan-rakan parti lain dalam Gabungan Sabah dan generasi muda selain daripada memastikan aktiviti cetak rompak dapat dibendung.
“Tidak dinafikan, Sabah mempunyai banyak bakat nyanyian tetapi cetak rompak telah menghantui peminat muzik di mana karya mereka disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Oleh itu, Harapan Rakyat bersama Gabungan Sabah merancang untuk menubuhkan Dewan Seni Artis Tempatan Sabah untuk melindungi kepentingan mereka,” kata beliau ketika menghadiri sambutan Pesta Kaamatan yang dianjurkan oleh parti tersebut di Ranau, baru-baru ini.
Perayaan tersebut dirasmikan oleh Presiden Harapan Rakyat, Datuk Seri Lajim Ukin. Maijol berkata dewan itu juga akan menyediakan latihan untuk peminat muzik, termasuklah vokal, penggubahan lagu, notasi muzik dan lain-lain.
“Dewan tersebut akan berfungsi sebagai akademi yang menyediakan skop latihan yang lebih luas agar bakat-bakat di Sabah boleh dinaikkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu, jika kami diberi peluang untuk mentadbir selepas pilihan raya umum, kami akan mengiktiraf artis melalui program-program anugerah.”
Menurut beliau, pengiktirafan sedemikian adalah penting untuk mewujudkan impak yang besar terhadap artis tempatan.
– HarianEkspres