Papar Diisytiharkan Kemarau, Pengagihan Bekalan Air Diteruskan

Papar Diisytiharkan Kemarau, Pengagihan Bekalan Air Diteruskan

0
SHARE
Kemarau
Gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

PAPAR, SABAH – Daerah Papar diisytiharkan dilanda kemarau hari ini dengan hampir 150,000 penduduk kawasan itu berdepan krisis bekalan air.

Menurut Ketua Pegawai Daerah Papar, Mohd Fuad Abdullah merangkap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Papar, beberapa tindakan sedang diambil termasuk keterusan pengagihan bekalan air.

“Pengagihan dibuat secara berjadual turut mendapatkan bantuan lori tangki air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ranau, Majlis Daerah Beaufort, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, dan selebihnya disewa daripada pihak swasta.

“JPBD yang bermesyuarat pada Jumaat lalu (8 Mac) bersetuju mengumumkan bencana kemarau di daerah Papar.

“Pengisytiharan bencana telah dibuat hari ini pada jam 10:30 pagi,” katanya dalam sebuah kenyataan yang disiarkan hari ini.

Mohd Fuad berkata JANS Papar akan memberi keutamaan kepada hospital, rumah-rumah ibadat, rumah warga tua dan sekolah-sekolah.

Sementara itu, Majlis Daerah Papar pula memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan perumahan, manakala Pejabat Parlimen Papar di kawasan- kawasan perkampungan.

“Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna JANS Papar dan Majlis Daerah Papar tidak membekalkan air ke kawasan penduduk- penduduk yang terkesan,” beliau berkata.

Seorang pembaca Sabah News yang berkerja sebagai agen sebuah syarikat penapis air berkata dia terpaksa mendahulukan pelanggannya.

“Saya terpaksa membeli satu karton air mineral untuk membuat penyelanggaraan sebuah unit di Kinarut hari ini.

“Saya letakkan pelanggan saya dahulu demi dapat terus mencari nafkah kehidupan sedangkan rumah saya pun tiada air,” kata Ashlee, 29.

Jabatan Meteorologi menjangkakan cuaca panas akibat fenomena El Nino akan berlarutan sehingga akhir Mac.