KOTA KINABALU, SABAH – Paras air rendah, pertumbuhan tanaman terbantut serta risiko penurunan produktiviti ternakan akibat kekurangan makanan antara cabaran dibawa fenomena El Nino.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, kekurangan hujan dan panas terik telah menyejat sehingga 40 peratus paras air di negeri ini.
“Kementerian sedang giat melaksanakan langkah-langkah untuk mengurangkan kesan buruk dan memastikan daya tahan sistem pengeluaran keselamatan makanan kita.
“Kebanyakan sungai di Sabah telah mengalami penurunan ketara. Kawasan kritikal termasuk Kota Belud, Keningau, Membakut, Tambunan, dan Kota Marudu.
“Langkah-langkah seperti catuan air dilaksanakan untuk menguruskan sumber yang terhad,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa jika cuaca berterusan ianya berpotensi mengurangkan hasil jangka panjang tanaman.
“Di kawasan seperti sawah padi, pertumbuhan tanaman telah terbantut akibat kekurangan air dan menjejaskan ketersediaan makanan untuk ternakan.
“Korporasi Pembangunan Desa melaporkan peningkatan kadar kematian dalam pengangkutan anak ayam tidak melebihi peratus.
“Walau bagaimanapun, kebanyakan operasi penternakan ikan belum lagi melaporkan kesan yang ketara.
“Namun, keadaan kering yang berterusan boleh menyebabkan kekurangan air di stesen akuakultur dan menjejaskan populasi ikan air tawar,” katanya.
Bagi pengeluaran getah Sabah, Jeffrey berkata tanaman getah baru terhenti aktiviti pembajaan yang perlahan dan pengurangan penorehan di kawasan ladang yang sangat kering untuk mengurangkan risiko kematian pokok.
Katanya, kerajaan negeri sedang mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk memberi nasihat tentang pengurangan kadar stok, penangguhan aktiviti pertanian tertentu, dan penggunaan varieti tanaman tahan kemarau.
“Pengendali akuakultur juga digalakkan untuk mengurangkan kepadatan stok dan menghentikan operasi, jika perlu, untuk meminimumkan kerugian.
“Beberapa strategi dirangka untuk pengurus ternakan bagi mengurangkan tekanan haba dan kekurangan makanan untuk ternakan.
“Untuk industri getah, aktiviti tertentu diggantung buat sementara dan penekanan diberi kepada penyelenggaraan ladang sedia ada untuk memastikan kesihatan tumbuhan,” katanya.