NEW DELHI, INDIA – Kelahiran seekor anak lembu yang dilahirkan dalam keadaan mempunyai tiga mata serta empat lubang hidung mengejutkankan penduduk kampung di daerah Rajnandgaon.
Menurut laporan Daily Star, penduduk kampung di situ percaya bahawa keadaan luar biasa anak lembu yang mempunyai satu mata tambahan di bahagian tengah dahi adalah bukti kelahiran semula dewa mereka.
Penduduk berduyun-duyun menyerbu kampung Chhattisgarh untuk memuja anak lembu susulah kejadian tersebut di mana mereka membawa colok, kelapa dan wang tunai mengikut adat dan budaya masyarakat setempat.
Bagi mereka, kejadian 14 Januari lepas itu memberi maksud penting dari sudut agama.
“Saya tidak pernah melihat mana-mana makhluk hidup mempunyai tiga mata. Ia adalah satu keajaiban dan kelahiran semula dewa,” kata Neelkumar Verma yang merupakan penduduk kampung di situ.
Sementara itu, pemilik anak lembu tersebut, Neeraj Chandel berkata, pemeriksaan kesihatan ke atas haiwan itu mendapati bahawa tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik.
“Ketika dilahirkan, kami menyangkakan bahawa anak lembu ini mempunyai kecederaan pada bahagian kepalanya…
“Bagaimanapun, selepas diperiksa menggunakan lampu suluh, kami terkejut melihat keadaannya. Ia juga mempunyai empat lubang hidung,” katanya.
Manakala, seorang doktor haiwan, Kamlesh Chaudhary menyifatkan bahawa kes seumpama itu tidak boleh dianggap sebagai keajaiban kerana ia berlaku disebabkan oleh kecacatan pertumbuhan pada embrio.