Bezza Terjunam Dalam Sungai Ketika Mengundur di Beaufort

Bezza Terjunam Dalam Sungai Ketika Mengundur di Beaufort

0
SHARE

BEAUFORT: Sebuah kereta jenis Perodua Bezza terjunam ke dalam sungai ketika sedang mengundur di belakang Maybank Beaufort, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, PPgB Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.42 malam.

Susulan itu, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera CFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda digerakkan ke lokasi sejauh 2 kilometer.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah Perodua Bezza telah terjunam ke dalam sungai ketika sedang mengundur. Tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu.

Semua mangsa bagaimanapun telah berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di sekitar lokasi sebelum ketibaan pasukan bomba.

”Pemeriksaan mendapati mereka berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang terlibat ialah seorang lelaki berusia 28 tahun, seorang wanita berusia 39 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Operasi yang diketuai PBK I Irwan Abdul itu berakhir pada jam 9.45 malam selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi adalah selamat.