KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan pelaburan berkualiti dalam industri kenderaan elektrik (EV) yang bukan sahaja memasarkan produk, malah membangunkan kemudahan, melatih bakat tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri menggalakkan syarikat yang melabur di Sabah supaya turut membangunkan kepakaran tempatan, melatih juruteknik asal Sabah, melibatkan pembekal tempatan serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti.
Beliau berkata, industri automotif global kini sedang melalui transformasi besar dengan peningkatan penggunaan EV hasil kemajuan teknologi bateri dan kesedaran terhadap keperluan pengangkutan yang lebih bersih.
“Peralihan kepada mobiliti elektrik di Sabah perlu dilaksanakan secara praktikal dan realistik memandangkan faktor geografi negeri yang luas serta keperluan pengguna terhadap jarak pemanduan, kemudahan pengecasan, ketahanan bateri dan sokongan selepas jualan.
“Pembangunan ekosistem EV yang mampan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, penyedia tenaga, pemaju hartanah, pusat beli-belah, hotel, pengedar kenderaan, pengendali stesen pengecasan dan institusi kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi bilik pameran pertama iCAUR di Sabah di Universal iCAR Showroom, di sini, pada Sabtu.
Masidi turut menggalakkan Universal iCAR dan iCAUR menjalin kerjasama strategik bagi memperluaskan rangkaian kemudahan pengecasan serta meningkatkan pengalaman pemilikan EV di Sabah.
Menurutnya, pembukaan bilik pameran pertama iCAUR di Sabah membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri serta prospek pertumbuhan pasaran pengguna di Sabah.
“Bagi Sabah, EV bukan sekadar bermaksud electric vehicle, tetapi juga melambangkan economic value melalui pelaburan baharu, pembangunan kemahiran, pertumbuhan perniagaan dan peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.






