Polis Nasihatkan Penduduk Yang Pernah Berkunjung Ke Zon Merah COVID-19 Untuk Jalani...

Polis Nasihatkan Penduduk Yang Pernah Berkunjung Ke Zon Merah COVID-19 Untuk Jalani Ujian Saringan

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Polis menasihatkan penduduk Lahad Datu yang pernah berkunjung ke zon merah penularan pandemik COVID-19 iaitu Tawau, Kunak dan Semporna yang menyaksikan kemunculan kluster baharu kes COVID-19, baru-baru ini, agar segera menjalani ujian saringan, di klinik kesihatan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata saranan itu penting sebagai langkah membendung penularan kes positif dalam komuniti di Lahad Datu.

“90 peratus individu yang balik daripada daerah-daerah ini khasnya Semporna, didapati positif COVID-19, saya minta supaya orang ramai beri kerjasama dalam bendung jangkitan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sapagaya di sini, semalam.

Selain itu, Nasri turut menasihatkan penduduk Lahad Datu agar tidak ke luar daerah tanpa urusan penting sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di daerah itu.

“Sekiranya terpaksa ke luar daerah atas urusan penting, datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk membuat permohonan dan hendaklah memenuhi keperluan,” katanya menambah buat masa ini hanya seorang isi rumah dibenarkan dalam kenderaan kecuali bagi hal kecemasan termasuk perubatan.

Dalam pada masa yang sama, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Lahad Datu Juraimin Jadil yang dipetik Bernama memaklumkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Sapagaya akan dijadikan pusat kuarantin berpusat daerah Lahad Datu bagi menempatkan pesakit COVID-19 bergejala ringan.

“Pusat kuarantin ini akan menempatkan pesakit COVID-19 yang dalam keadaan stabil (bergejala ringan) manakala pesakit yang memerlukan perhatian khusus ditempatkan di Hospital Lahad Datu,” katanya.

Menurutnya lagi, pembukaan pusat kuarantin berpusat dan pemilihan PPR itu bertujuan menangani peningkatan kes positif COVID-19 di Lahad Datu, selain khuatir pusat kuarantin sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit yang bertambah.

“Pusat kuarantin sebelum ini akan ditutup secara berperingkat membabitkan Pusat Kuarantin Plasma Inn dan Pusat Kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Jalan Lahad Datu-Tungku,” tambah beliau.

Menurut Juraimin berkata tiga blok bangunan PPR itu akan digunakan dengan dua dijadikan pusat rawatan pesakit COVID-19, manakala sebuah lagi  dikhususkan untuk penempatan petugas barisan hadapan terdiri daripada anggota dan pegawai kesihatan, polis, tentera dan pihak berkuasa tempatan yang akan bertugas di pusat kuarantin itu.

“Pusat kuarantin berpusat ini dapat menjimatkan masa petugas barisan hadapan  ke lokasi bertugas kerana semua berada dalam satu kawasan sahaja,” jelas beliau.