KUALA LUMPUR – Cadar tilam dan sarung bantal yang kotor boleh menyebabkan alahan, kerosakan kulit, asma, dan banyak masalah kesihatan lain selain daripada mampu mengganggu kualiti tidur setipa individu.
Ini kerana cadar dan sarung bantal akan mengumpul segala kotoran, peluh, minyak, dan lain-lain yang terhasil daripada tubuh manusia yang mana ia membenarkan bakteria mula membiak.
The Conversation mendedahkan satu hasil penyelidikan daripada seorang ahli yang juga pakar Mikrobiologi bahawa linen (cadar) tempat tidur di hospital mendapati wujudnya bakteria Staphylococcus.
Bakteria ini biasanya tidak berbahaya, tetapi boleh menyebabkan penyakit serius ketika memasuki tubuh badan melalui permukaan kulit yang luka terbuka.
Bakteria jenis Staphylococcus yang aktif membiak pada cadar dan sarung bantal cukup cepat menular dan boleh menyebabkan jangkitan kulit, radang paru-paru dan memburukkan lagi jerawat
Penyelidikan itu juga turu mendedahkan bahawa, selain bakteria Staphylococcus, bakteria E. coli dan bakteria lain yang serupa , yang dikenali sebagai bakteria gram negatif, juga sering terjadi di tempat tidur hospital.
Bakteria gram negatif adalah masalah kesihatan yang serius kerana mereka sangat tahan terhadap antibiotik dan boleh menyebabkan jangkitan serius pada manusia termasuklah jangkitan saluran kencing, radang paru-paru, cirit-birit dan meningitis.
Beberapa jenis E. coli juga boleh berjangkit dan boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing, cirit-birit serta radang paru-paru.
Oleh itu, perkara inilah yang menyebabkan setiap individu disarankan mencuci tangan dengan betul selepas menggunakan tandas bagi mengelakkan pemindahan bakteria ini ke bahagian lain di rumah anda selain daripada harus menukar cadar tilam dan sarung bantal setiap seminggu atau dua minggu sekali bagi mengelakkannya menjadi ‘rumah’ kepada kuman dan bakteria.
“Walaupun persekitaran hospital sangat berbeza dengan persekitaran rumah kita. Tetapi itu tidak bermakna bahawa bakteria ini tidak mungkin masuk ke tempat tidur kita…
“Sebenarnya, sekitar satu pertiga orang membawa Staphylococcus aureus ke dalam badan mereka. Orang yang membawa S. aureus dapat memindahkan organisma dalam jumlah yang banyak, yang bermaksud mudah bagi bakteria Staphylococcus untuk dipindahkan ke tempat tidur anda di rumah,” jelas hasil penyelidikan itu.
Selain itu, pepijat turut wujud di atas permukaan cadar dan sarung bantal di rumah kesan daripada pembuangan sekitar 500 juta sel kulit setiap hari ketika tidur di tempat tidur yang mana sel-sel kulit ini boleh menarik dan dimakan oleh tungau debu mikroskopik (pepijat).
Pepijat dan kotorannya boleh mencetuskan alahan dan juga asma.
Penyelidikan yang dihasilkan oleh seorang ahli Mikrobiologi itu turut mendedahkan seseorang indivitu itu boleh membawa kuman ke tempat tidur dari barang-barang rumah yang telah tercemar seperti pakaian, tuala, tandas atau tab mandi, permukaan dapur, atau bahkan binatang peliharaan.
Justeru itu, ahli Mikrobiologi melalui penyelidikannya mengeyorkan agar cadar dan sarung bantal harus dicuci menggunakan suhu yang tinggi iaitu sekitar 40-60 celsius supaya dapat membunuh kuman dengan berkesan.
Selain itu, dia turut menyarankan orang ramai supaya mandi sebelum tidur untuk memastikan cadar sentiasa bersih.
“Elakkan tidur di atas katil ketika berpeluh, tanggalkan mekap dan elakkan memakai losyen, krim dan minyak sebelum tidur. Jangan makan atau minum di atas katil dan jauhkan haiwan peliharaan dari kawasan cadar,” katanya.