Kanak-Kanak Seawal Usia 6 Tahun Mula Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Di Kemboja

Kanak-Kanak Seawal Usia 6 Tahun Mula Terima Suntikan Vaksin COVID-19 Di Kemboja

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PHNOM PENH, KEMBOJA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga kini belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dalam meluluskan pemberian vaksin kepada golongan di bawah 12 tahun.

Namun, Kemboja tetap memulakan awal program imunisasi COVID-19 kepada golongan kanak-kanak seawal usia ENAM (6) tahun bermula semalam meskipun belum menerima kelulusan daripada WHO.

Memetik laporan AFP, negara itu mendapat pujian susulan kepantasan program vaksinasinya yang menyaksikan lebih 98 peratus (98%) populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos, sekali gus berada di tangga kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asia Tenggara seperti mana yang telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Kemboja.

Cucu Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan wakil pihak kerajaan lain menjadi kanak-kanak terawal terlibat dalam program imunisasi berikut yang mana mereka menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac di hadapan pihak pemberita di negara itu.

Hun Sen berkata, pelaksanaan program imunisasi kepada golongan kanak-kanak ini disifatkan penting.

“Adalah penting untuk kami melaksanakan usaha ini kerana kita mahu lebih ke depan,” katanya.

Kemboja merancang memberikan dua suntikan vaksin keluaran China itu kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun sebelum memperluaskannya kepada suntikan tambahan selepas ini.

Pemimpin yang didakwa mengenepikan aspek keselamatan vaksin kepada kanak-kanak itu berkata, Kemboja bertanggungjawab melindungi nyawa rakyatnya ketika pembukaan semula ekonomi dan sektor pendidikan.

Sinovac diluluskan penggunaannya kepada golongan dewasa di lebih 50 negara dengan China membenarkan penggunaan vaksin itu kepada kanak-kanak.

Namun, sehingga kini pakar kesihatan awam belum dapat mengenalpasti sama ada ia boleh digunakan kepada kanak-kanak.

Sebelum ini, WHO menggesa semua negara supaya menangguhkan pemberian vaksin kepada golongan berusia di bawah 12 tahun.

“Ini kerana lebih banyak bukti diperlukan dalam penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak sebelum ia digalakkan kepada umum,” kata WHO.