KUALA LUMPUR – Parti Perikatan Nasional (PN) sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional yang baharu.
Dalam sebuah kenyataan hari ini, mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata seramai 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN telah menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) mereka ke Istana Negara kelmarin.
Mereka ini terdiri daripada 31 ahli BERSATU, 18 ahli PAS, 1 ahli STAR termasuk 4 ahli bebas Pro-PN yang menyokong mantan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai Perdana Menteri kesembilan Malaysia.
“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama…
“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihanraya Umum bagi megembalikan mandat kepada rakyat,” kata Muhyiddin.
Keputusan ini juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.
“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara,” tegasnya lagi.
Menurut Muhyiddin, sokongan PN kepada Ismail yang juga merupakan Naib Presiden UNNO adalah bersyarat selaras dengan prinsip Perikatan Nasional untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti.
Jelasnya, sekiranya Ismail dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri oleg Yand di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di makhamah.
“Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan…
“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” beliau berkata.