KUALA LUMPUR – Individu boleh mula membuat semakan status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula hari ini (18 Sept), demikian menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurutnya, semakan status kelulusan rayuan itu melibatkan hampir 200,000 penerima yang berkelayakan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.
“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung bulan ini bersama dengan penerima bayaran BPR Fasa 3…
“Kerajaan sudah mengemaskini data golongan B40 yang layak menerima BPR melalui permohonan rayuan yang dibuka pada 15 sehingga 30 Jun lalu.
“Permohonan rayuan ini diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan inisiatif bantuan tunai ini dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak,” kata Tengku Zafrul.
Tambahnya, kerajaan berharap bantuan tunai yang keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion sehingga hujung tahun ini, boleh membantu Keluarga Malaysia menampung dan menguruskan perbelanjaan penting mereka.
Selaras dengan pengumuman kelulusan rayuan BPR, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyertai Program Jaringan Prihatin.
Katanya, tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program terbabit akan dilanjutkan sehingga 30 September ini dan ia bertepatan dengan situasi semasa serta memberi ruang dan masa kepada mereka yang perlu mendaftar serta menebus telefon telefon di kedai secara fizikal.