CHERAS, KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usaha UDA Holdings Berhad (UDA) membangunkan lebih banyak rumah mampu milik dapat melonjakkan pemilikan rumah terutamanya di kalangan Bumiputera di kawasan bandar.
Beliau berkata, UDA satu daripada agensi kementeriannya sedang membangunkan 494 unit rumah mampu milik iaitu Residensi Akasia Jubilee, Kuala Lumpur di atas tanah seluas 1.9 hektar.
“Projek pembangunan di lokasi strategik dengan akses mudah serta kemudahan infrastruktur yang berdekatan, dijangka siap pertengahan tahun hadapan.
“Pembangunan rumah mampu milik tersebut dapat membuka lebih banyak peluang kepada semua generasi memiliki hartanah kediaman.
“Inisiatif ini juga adalah antara usaha UDA meningkatkan taraf pemilikan hartanah, terutamanya bumiputera di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival UDA Lembah Klang, di Lake Valley Bandar Tun Hussien Onn, Cheras, di sini, semalam.
Ewon percaya penawaran produk hartanah komersial dan kediaman ‘Sempurna Untuk Semua Generasi’ menerusi kempen promosi ‘Jimat Super Deals’, UDA mencapai sasaran jualan produk hartanah UDA bernilai RM110 juta dalam karnival ini.
“Saya juga melihat kesan limpahan pembangunan rumah mampu milik ini akan mewujudkan peluang keusahawanan, terutamanya dalam memenuhi permintaan terhadap keperluan harian penduduk dan komuniti setempat.
“Selain itu, ruang niaga yang selesa diperlukan bagi menempatkan usahawan-usahawan menjalankan perniagaan untuk memenuhi permintaan pasaran penduduk dan komuniti setempat,” katanya.
Ewon berkata, di samping itu, kementeriannya turut melihat keprihatinan UDA dalam menyantuni komuniti setempat menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat – UDA Cares.
Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan akaun Simpanan SSPN Prime dan juga agihan zakat wakalah UDA kepada masjid dan surau di Bandar Tun Hussein Onn serta usahawan asnaf.
Ini merupakan inisiatif murni yang mampu menyumbang ke arah kesejahteraan, meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat dan seterusnya membangunkan Malaysia Madani.
Beliau berharap UDA terus komited menggalas mandat untuk memperkasa usahawan serta mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong pembangunan sosio ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.
“KUSKOP sentiasa menyokong hasrat UDA untuk memperbanyakkan lagi pembangunan hartanah komersial juga kediaman termasuklah pembangunan rumah mampu milik terutamanya di kawasan bandar agar dapat membantu meningkatkan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan bumiputera di kawasan bandar.
Beliau juga berharap usaha ini dapat meningkatkan prestasi UDA serta menyumbang ke arah momentum cemerlang ekonomi Malaysia.