KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Persekutuan dirayu untuk memberikan peruntukan yang setimpal seperti mana Sabah telah menyumbang kepada simpanan negara selama ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata demikian berhubung kos kerja-kerja penebatan banjir khususnya di daerah Penampang dan Putatan yang paling teruk terjejas.
Beliau menjelaskan sekurang-kurangnya RM401 juta diperlukan bagi tujuan itu sementara Kerajaan Negeri kini mempunyai RM281 juta yang telah pun diluluskan pada tahun 2017.
“Kita akan sentiasa terpaksa mengharungi banjir sehinggalah kerja disiapkan tanpa halangan,” katanya sambil menambah keadaan akan semakin keruh setiap tahun disebabkan perubahan iklim yang sedang berlaku.
Menurut beliau, kerja membesarkan parit sungai dari 5 meter kepada 7 meter serta pendalaman sudah dimulakan, namun menemui kekangan dari segi kewangan dan mangsa banjir itu sendiri.
“Ada daripada penduduk yang membuat rumah pada kawasan perparitan sungai ataupun terlalu dekat dengannya…
“Selain daripada itu, kabel dan tiang elektrik di sekitar kiri dan kanan sungai perlu dipindahkan tapi penjadualan proses ini belum dapat ditentukan pihak bertanggungjawab.
“Pemindahan penduduk memerlukan peruntukan yang besar dan juga perlu dibuat pada masa yang sesuai kerana bekalan elektrik akan diputuskan buat sementara waktu.
“Jika kita dapat usahakan semua ini, pengaliran air dan kesan banjir dalam daerah ini dan sebahagian Kota Kinabalu akan dikurangkan,” katanya semasa melawat kawasan banjir di Jalan Putatan Ramayah petang tadi sambil menambah kerja tersebut harus dilakukan secara sekali gus.
Katanya usaha sama inter agensi kerajaan berada pada tahap 70 peratus siap tetapi “seperti meratakan gunung mengunakan cangkul”.
”Apa yang kita perlu adalah jentera iaitu peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Hal ini telah disuarakan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK) dan sekarang kita telahpun masuk fasa pertama RMK Ke-12…
“Kalau terus ditunda sehingga tahun depan lagi rakyat sudah tentu akan marah dan kita (Kerajaan Sabah) tidak mahu rakyat dibebankan masalah kerugian harta benda dan terutamanya sekali nyawa mereka.
“Katakan Sabah mencarum sejumlah RM 60 bilion setahun kepada negara, dan hak kewangan kita mengikut perlembagaan adalah pengembalian 40 peratus, ini bererti kita sepatutnya menerima RM 24 billion.
“Kita gembira dan berterima kasih atas pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri tentang dana khas bagi pembangunan untuk dibahagikan antara Sabah dan Sarawak.
“Tapi jika dibandingkan dengan hak kita yang sebenarnya, jumlah itu hanyalah ibarat kacang,” katanya.
Dalam kerja-kerja penebatan sungai bagi daerah tersebut, Dr. Jeffrey berkata ianya merangkumi empat (4) pakej dimana dua (2) daripadanya sedang dilaksanakan.