KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri membenarkan penambahan bilangan jemaah bagi Solat Jumaat di Masjid Utama kepada 300 orang.
Sementara itu, jemaah di Masjid Kariah pula seramai 200 orang dan Solat Jumaat di surau kepada 50 orang jemaah.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) itu berkuatkuasa dengan serta merta.
“Keutamaan diberi kepada jemaah yang telah melengkapkan dua dos vaksin mereka…
“Solat Fardu pula bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke Masjid Utama ialah 150 orang. Namun, bagi Masjid Kariah dan Surau hanya 50 jemaah yang dibenarkan,” katanya.
Aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan merangkumi kuliah Maghrib iaitu tempoh masa antara waktu maghrib dan isyak. Selain itu, Solat Jenazah dengan bilangan jemaah seperti solat Jumaat dan solat LIMA (5) waktu.
“Turut dibenarkan, pengurusan jenazah dengan jumlah 20 orang, di samping ziarah kubur juga jumlah 20 orang…
“Bagi majlis akad nikah di masjid dan surau, bilangan yang dibenarkan ialah 20 orang di dewan atau bilik khas tertakluk mengikut keluasan dan kebenaran Jawatankuasa,” katanya.