Sabah Catat 5 Kluster Baharu Dan Peningkatan Kes Positif COVID-19

Sabah Catat 5 Kluster Baharu Dan Peningkatan Kes Positif COVID-19

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak LIMA (5) kluster baharu dilaporkan kelmarin (Selasa) yang menjadikan jumlah kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 350 KES, iaitu peningkatan 14 kes dari sebelum ini (Isnin).

Tiga daripada kluster terbabit mula tercetus di antara kalangan pekerja pelantar di ibu negeri ini.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun turut mengatakan SATU (1) kes kematian direkodkan di daerah Tawau.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 08 Jun 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

“Peningkatan kes secara major disumbang oleh Daerah Kota Kinabalu dengan pertambahan 130 kes…

“Trend peningkatan signifikan kepada kebarangkalian berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan,” katanya.

‘Kluster Ocean Blue’ di Kota Kinabalu merupakan kluster jenis tempat kerja melibatkan kru kapal dan dikesan semasa saringan prosedur terhadap 185 kru kapal yang baru tiba dari Perak.

Kes indeks adalah kru kapal, lelaki, 29, mula bergejala pada 3 Jun kemudian didapati positif sejurus tiba di pangkalan dan telah dimasukkan ke PKRC. Keputusan saringan seumpama menunjukkan 98 lagi kru kapal dikesan positif, manakala 86 kru masih menunggu keputusan.

‘Kluster Segara’ dari Kota Kinabalu melibatkan penularan jangkitan di kalangan kakitangan Pelantar Kinabalu Non Associated Gas (KNNAG).

Kes indeks merupakan lelaki, 40, juruteknik elektrik di pelantar berkenaan disahkan positif 2 Jun 2021 dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut. Daripada 141 sampel yang diambil, 10 kes dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes.

‘Kluster Coral’ di Kota Kinabalu melibatkan penularan jangkitan berlaku di tempat kerja Pelantar Samarang.

Kes indeks merupakan tukang masak lelaki, 34, dikesan positif namun tidak mempunyai sebarang gejala dalam saringan prosedur sign off kapal pada 2 Jun 2021. Saringan kontak rapat segera dijalankan dengan mengambil 283 sampel daripada keseluruhan kru pelantar dan mengesan lapan (8) lagi kes positif.

‘Kluster Tanjung Aru Baru’ juga di Kota Kinabalu melibatkan pertambahan kes dalam komuniti itu.

Kluster ini adalah hasil dari saringan kontak rapat dan saringan bersasar setelah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 4 Jun.

Kes indeks adalah warganegara Filipina, 44, yang disahkan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Putatan pada 25 Mei dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut.

‘Kluster Kg Bundu’ di Kuala Penyu pula melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti di beberapa lokaliti iaitu Kg Bundu Batu 4, Kg Bundu Batu 3, Kg Tenambak, Kg Sg Labuan, Pekan Kuala Penyu dan Kg Kitang.

Kes indeks merupakan lelaki, 45, dikesan positif pada 24 Mei hasil saringan kontak kepada anaknya yang merupakan saringan bergejala.

Datuk Masidi Manjun…

“Pengesanan kontak mendapati 38 kes lagi positif COVID-19 dalam kalangan rakan sosial dan ahli keluarga. Setakat hari ini, jumlah kumulatif ialah 39 kes termasuk dua (2) kes baharu…

“Berdasarkan maklumat awal, penularan kluster ini disumbang oleh aktiviti sosial di pusat hiburan yang kemudian menjangkiti ahli keluarga,” kata Masidi.

Dalam pada itu, sejumlah 822 buah kenderaan diarah berpatah balik di 132 SJR yang dilaksana dalam tempoh 24 jam melibatkan pemeriksaan 55,095 buah kenderaan.

“Sebanyak 100 kompaun melanggar SOP COVID-19 telah dikeluarkan seluruh Sabah,” tambahnya lagi.