KOTA KINABALU, SABAH – Majoriti rakyat Sabah dilihat tampil menegur malahan ada yang kelihatan marah selepas Datuk Seri Rahman Dahlan memuat naik satu kenyataan mempertikaikan keputusan Kerajaan Negeri Sabah mengagihkan 10 ribu komputer riba (laptop) kepada anak-anak Sabah yang layak.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 06 Jun yang lalu telah membuat pengumuman bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan mengagihkan sebanyak 10,000 komputer riba (Laptop) menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 bermula 19 Julai hingga 18 Oktober ini.
Pemberian komputer riba itu membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada penghujung tahun ini.
Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor berkata, pemberian komputer riba itu yang telah dipersetujui oleh Kabinet membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta.
“Menerusi Mesyuarat Kabinet sebelum ini, jemaah menteri bersetuju supaya satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dibentuk untuk mencari kaedah terbaik membantu pelajar yang tidak berkemampuan agar tidak tercicir dalam PdPR..
“Kementerian Tugas-Tugas Khas pula bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
“Komputer riba daripada pelbagai jenama termasuk ACER, Lenovo dan DELL itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” kata beliau.
Datuk Seri Rahman Dahlan yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam reaksi balasnya telah memuat naik satu kenyataan melalui laman sosial Facebook miliknya (kelmarin); “apakah keperluan kerajaan negeri Sabah membeli 10,000 komputer dengan kos RM15 juta sedangkan kerajaan pusat akan membekalkan 150,000 buah kepada pelajar di seluruh negara termasuk di Sabah.
“Alangkah baiknya RM15 juta itu dapat dibelanjakan untuk membantu peniaga kecil dan orang kampung yang menderita semasa lockdown ini.”
Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) dalam dalam satu kenyataan pula berkata, kenyataan Rahman Dahlan tersebut jelas amat memeranjatkan.
“Agak hairan kenapa Rahman tidak memahami denyut nadi rakyat Sabah yang kini berhadapan dengan banyak masalah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan…
“Sepatutnya Rahman Dahlan menyokong usaha murni Kerajaan Negeri Sabah tersebut kerana ianya akan memberi manfaat secara langsung kepada 10 ribu anak-anak Sabah yang akan menghadapi peperiksaan SPM, STPM dan STAM.
“Pengumuman oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengagihkan sebanyak 150,000 buah komputer riba juga jelas tidak mencukupi memandangkan agihan itu membabitkan pelajar di seluruh Malaysia.”
Dalam pada itu, netizen dengan nama Akmal Haridun turut mengkritik Rahman dengan tulisan; “Tiada yang pelik pun. Usaha murni kerajaan negeri ini sesuatu yang baik. Pemberian laptop oleh kerajaan negeri ini sedikit sebanyak dapat la membantu meringankan beban rakyat. Khususnya rakyat yang kurang berkemampuan ataupun yang tergolong dalam kelompok miskin tegar”.
Nura Medina berkata; “Usaha murni kerajaan negeri ini sesuatu yang baik. Pemberian laptop oleh kerajaan negeri ini sedikit sebanyak dapat lah membantu meringankan beban rakyat. Khususnya rakyat yang kurang berkemampuan ataupun yang tergolong dalam kelompok miskin tegar”.
Zikhrul Abd Rahman berkata; “Saya sokong dengan bantuan yang telah kerajaan Negeri telah salurkan..Ini adalah kaedah yang kerajaan ambil untuk membantu agar pelajar yang tidak berkemampuan tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)”.
James Iskandar pula berkata; “Seperti yang kita tahu Dato’ bantuan untuk peniaga pihak kerajaan Persekutuan sudah pun umumkan pelbagai inisiatif untuk peniaga kecil dan golongan B40. Rasanya inisiatif pemberian komputer untuk pelajar SPM dan STPM ada juga baiknya kerana mereka ini yang akan menghadapi peperiksaan penting yang boleh menentukan masa depan mereka”.
Penyokong dan Cybertropper Parti Warisan Sabah juga diilihat turut menyokong pemberian komputer riba oleh Kerajaan Negeri Sabah. Ismit Ulam Raja berkata; “Tenang di posisi jak ya. Benda bagus macam ni saya pun mau demi anak bangsakan. Tidak mau membangkang, sokong juga”.
Berikut adalah paparan luahan rasa kurang senang rakyat Sabah terhadap kenyataan Rahman Dahlan yang mempertikaikan kenapa Kerajaan Negeri Sabah mengagihkan 10 ribu komputer riba (laptop) kepada anak-anak Sabah yang bakal menduduki SPM, STPM dan STAM:-