KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin, menyuarakan kekecewaannya terhadap rancangan kerajaan untuk mengeksport tenaga elektrik dari Sarawak ke selatan Filipina melalui Sabah, sedangkan negeri itu masih bergelut dengan bekalan elektrik yang tidak mencukupi.
Beliau menegaskan bahawa Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 2,000MW tenaga elektrik bagi menampung keperluan semasa, tetapi kapasiti janaannya masih tidak mencukupi pada kadar 1,300MW.
“Sabah yang dijadikan laluan transit untuk projek bekalan tenaga ini sendiri berdepan masalah bekalan elektrik yang tidak stabil.
“Bagaimana kita boleh membantu negara lain sedangkan kita sendiri masih mengalami gangguan bekalan dan catuan kuasa?” katanya.
Chin juga mempersoalkan mengapa tenaga dari Sarawak tidak disalurkan dahulu kepada Sabah bagi menyelesaikan krisis tenaga negeri itu sebelum dihantar ke Filipina.
“Jika Sabah boleh disambungkan ke grid Sarawak, mengapa bekalan itu tidak diberikan kepada kita dahulu? Ini bukan soal ihsan, tetapi keperluan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa penyelesaian sementara tidak akan menyelesaikan isu asas, sebaliknya Sabah memerlukan loji janakuasa berkapasiti 2,000MW bagi memenuhi permintaan, menurunkan kos, dan menyokong industri tempatan.
Beliau mendesak kerajaan persekutuan untuk memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah tenaga di Sabah sebelum berusaha meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju tenaga di ASEAN.
“Rakyat Sabah sudah bosan menjadi keutamaan terakhir dalam pembangunan negara.
“Kami mahu tindakan segera untuk mengatasi krisis tenaga sebelum infrastruktur kami digunakan untuk kepentingan Malaysia di peringkat serantau,” katanya.