KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dengan kerjasama PETRONAS dan Sabah Energy Corporation (SEC) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Panduan Keselamatan Pengurusan Right-of-Way (ROW) Paip Gas Sabah selama dua hari bagi memperkukuh aspek keselamatan serta pengurusan infrastruktur tenaga negeri.
Bengkel yang berlangsung pada 30 September hingga 1 Oktober 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) itu menghimpunkan lebih 150 peserta daripada 52 organisasi termasuk agensi kerajaan, pemain industri, syarikat utiliti dan wakil komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Nasser Abdul Wahid, berkata, kerjasama strategik antara ketiga-tiga pihak mencerminkan kesungguhan memastikan infrastruktur tenaga negeri dibangunkan dan diurus secara bertanggungjawab.
“Di Sabah, laluan paip gas melalui kampung, ladang, kawasan pemuliharaan serta zon perindustrian. Ini membuka peluang ekonomi tetapi juga membawa risiko besar jika aspek keselamatan diabaikan,” jelasnya.
Sorotan utama bengkel ialah sesi Leaders’ Dialogue yang membincangkan hala tuju strategik pengurusan dan penguatkuasaan ROW.
Antara ahli panel termasuk, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zulkifly Sulaiman; Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Pengeluaran & Operasi Malaysia Petroleum Management (MPM), Handan Ramli; dan Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Adzmir Abdul Rahman.
Dialog itu menekankan keperluan pendekatan pengurusan risiko paip gas yang lebih tersusun, merujuk kepada insiden kemalangan Putra Heights sebagai peringatan penting.
Sabah mempunyai cabaran unik kerana laluan paipnya merentasi pelbagai kawasan sensitif.
Perbincangan turut menyeru koordinasi industri yang lebih erat, kerjasama rapat dengan agensi kerajaan serta kesedaran komuniti bagi mewujudkan budaya keselamatan bersama.
Datuk Ir. Nasser menegaskan, “Perbincangan ini bertujuan menghasilkan langkah konkrit untuk melindungi nadi kehidupan Sabah. Dengan berganding bahu, kita dapat menjamin keselamatan, kelestarian dan jaminan tenaga untuk generasi akan datang.”
Enakmen Bekalan Gas 2023 telah memperuntukkan aspek pemeriksaan dan akses, dan kini Sabah berpeluang memperkukuhnya dengan garis panduan ROW yang jelas, berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan disesuaikan dengan konteks tempatan.
Bengkel ini merupakan sebahagian usaha merealisasikan Sabah Energy Roadmap & Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040), yang menggariskan visi pembangunan tenaga negeri secara seimbang, memastikan keselamatan bekalan, memacu pertumbuhan ekonomi dan memelihara kelestarian alam sekitar.






