KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Sim Fui menyatakan kekecewaannya terhadap keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata tindakan itu amat dikesali kerana kedua-dua parti berkenaan merupakan pengasas bersama GRS yang ditubuhkan bagi menyatukan parti-parti tempatan Sabah demi kepentingan negeri.
“Penubuhan GRS bukan untuk kepentingan individu atau parti, tetapi untuk memperkukuh kuasa tawar-menawar politik Sabah, menjamin kestabilan ekonomi dan membina kerajaan negeri yang konsisten serta stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sim, sejarah politik Sabah sejak era USNO, BERJAYA dan PBS pada 1980-an memperlihatkan bagaimana perpecahan berterusan parti-parti tempatan hanya melemahkan negeri.
“Lebih 30 parti politik tempatan telah wujud sejak 1964, namun perpecahan itu tidak membawa kekuatan.
“GRS diwujudkan untuk mengubah corak itu dengan menyatukan suara rakyat Sabah, mencontohi kekuatan GPS di Sarawak yang terbukti stabil dalam hubungan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Mengulas pengalaman politik Sabah sejak 2018, beliau berkata pergolakan dan pertukaran kerajaan yang kerap jelas menunjukkan ketidakstabilan adalah ancaman terbesar kepada pembangunan negeri.
“Rakyat sudah muak dengan pergaduhan, perubahan dasar dan perebutan kuasa.
“Mereka mahu kestabilan, tadbir urus yang baik dan polisi konsisten yang mampu menarik pelaburan serta menjana ekonomi,” tegasnya.
Beliau menegaskan, walaupun GRS tidak sempurna, ia satu-satunya platform terbaik untuk mengurangkan perpecahan, mengukuhkan perpaduan serta memastikan kestabilan politik Sabah.
“Kesatuan adalah kekuatan kita. Hanya melalui kestabilan dan kerjasama, Sabah mampu menuntut hak di bawah MA63, mengukuhkan ekonomi dan menjamin masa depan generasi akan datang,” katanya.






