Kanak-Kanak, Warga Emas Lemas Dihanyutkan Kepala Air di Tongod

Kanak-Kanak, Warga Emas Lemas Dihanyutkan Kepala Air di Tongod

0
SHARE

TONGOD: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang wanita warga emas berumur 79 tahun dilaporkan maut selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir mengejut di Kampung Bangkulut Imbak semalam.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kedua-dua mangsa dipercayai cuba menyeberangi laluan yang ditenggelami air sebelum terhanyut oleh arus kuat kira-kira jam 9.46 malam.

“Mangsa pertama, seorang wanita warga emas, ditemui pada jarak 250 meter dari lokasi terakhir beliau dilaporkan dihanyutkan.

“Mangsa kedua, kanak-kanak lelaki, ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa pertama dijumpai,” kata seorang jurucakap agensi.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Bomba memaklumkan kejadian dipercayai berpunca daripada kepala air yang datang secara tiba-tiba dari hulu sebelum melimpahi kawasan kampung.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.04 pagi setelah keadaan air sungai surut.