RUU Had Tempoh 10 Tahun Jawatan Perdana Menteri Gagal Peroleh Sokongan Dua...

RUU Had Tempoh 10 Tahun Jawatan Perdana Menteri Gagal Peroleh Sokongan Dua Pertiga

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun selepas gagal memperoleh sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Memetik laporan Berita Harian, keputusan undi belah bahagian menyaksikan seramai 146 Ahli Parlimen menyokong RUU berkenaan, manakala 44 berkecuali dan 32 tidak hadir.

Untuk diluluskan, RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi sokongan.

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas RUU berkenaan dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Kegagalan itu menyaksikan pindaan terhadap Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dibawa ke bacaan kali ketiga untuk kelulusan.

RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali pertama minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, manakala bacaan kali kedua dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebelum sesi perbahasan berlangsung.

Azalina ketika menggulung perbahasan menegaskan pindaan itu dirangka sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta tidak menyentuh prerogatif dan kedudukan Raja-Raja.

“Pindaan ini tidak termasuk dalam kategori yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 159(5) dan Perkara 38(4). Ia tidak menyentuh kedaulatan prerogatif atau kedudukan Raja-Raja dan kerajaan bertindak selaras dengan Perkara 159(3),” katanya.

Beliau menjelaskan, penetapan had tempoh tidak mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri, sebaliknya hanya mentakrifkan parameter kelayakan dan tempoh memegang jawatan.

“Kuasa melantik kekal kepada baginda, sokongan majoriti kekal pada Dewan Rakyat. Had tempoh hanya memastikan kuasa itu tidak dipegang tanpa batas,” katanya.

Menurutnya, tempoh 10 tahun dipilih sebagai ukuran objektif dan seragam, selain mengelakkan ketidakpastian tafsiran mengenai penggal memandangkan Parlimen tidak terikat kepada tempoh tetap.

Terdahulu, Anwar ketika membentangkan RUU itu berkata cadangan pindaan berkenaan tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya memperkukuh struktur perlembagaan melalui peruntukan jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.

Kegagalan meluluskan RUU tersebut turut memberi isyarat tidak menentu terhadap satu lagi RUU pindaan penting yang dijadual dibentangkan esok berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang turut memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.