TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menggesa siasatan penuh dijalankan susulan insiden brek kereta api yang dilaporkan gagal berfungsi ketika membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi, Tenom, pagi tadi.
Menurut beliau, kejadian tersebut hampir mengundang tragedi sekiranya tidak disedari dan ditangani segera oleh penduduk kampung berhampiran.
“Saya mendapat maklumat berlakunya kejadian masalah ‘brake gagal berfungsi’ kepada kereta api yang membawa guru-guru SK Pangi, Tenom pada pagi tadi.
“Tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di landasan berjaya menghentikan kereta api tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Jamawi berkata, beliau memohon agar Jabatan Keretapi Negeri Sabah menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan aspek keselamatan dipertingkatkan.
“Saya memohon dan mengharapkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah mengadakan siasatan penuh akan perkara ini dan mengambil langkah-langkah segera agar peristiwa ini tidak berulang lagi,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) mempercepatkan pelaksanaan projek jalan raya Tenom–Pangi yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri pada awal tahun 2025.
“Saya juga memohon pihak JKR untuk segera memulakan projek jalan raya Tenom–Pangi yang mana telahpun diluluskan oleh YAB Ketua Menteri awal tahun 2025 lalu dan difahamkan kontraktor juga sudah dilantik,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, projek jalan raya berkenaan amat penting sebagai alternatif perhubungan yang lebih selamat dan efisien kepada penduduk serta warga pendidik di kawasan pedalaman, sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api sedia ada.
Sehingga kini, tiada laporan kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.






