KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal pada hujung minggu ini susulan penutupan sementara beberapa jalan utama di pusat bandar Kota Kinabalu sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2025.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda memaklumkan bahawa penutupan jalan secara kekal dan berkala akan bermula pada Sabtu, 21 Jun 2025 seawal jam 5 pagi hingga 10 pagi bagi memberi laluan kepada acara perarakan rasmi yang akan melibatkan 80 kontinjen perbarisan dengan anggaran 10,000 peserta di Padang Merdeka.
“Penutupan ini akan melibatkan lima laluan utama menuju ke Padang Merdeka iaitu Bulatan Bunga Raya, Bulatan Capital (Bandaran), Simpang Tiga Bukit Bendera, Jalan Dewan dan simpang Jalan Padang berdekatan KFC Bandaran.
“Secara tidak langsung, laluan KK Bypass akan digunakan sepenuhnya sebagai laluan utama bagi kenderaan masuk dan keluar yang membawa peserta kontinjen perbarisan, kenderaan Menteri-menteri, Ketua-ketua Jabatan serta dif-dif jemputan,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Tambah beliau lagi, perarakan penuh akan bermula dari Jalan Dewan dan Jalan Istana, dan akan berakhir di Padang Merdeka, manakala Jalan Padang akan digunakan sebagai lokasi parkir bagi kenderaan jemputan.
PDRM turut mengingatkan orang awam agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sepanjang laluan yang terlibat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memastikan kelancaran acara.
“Kerjasama dan toleransi semua pihak amat kami hargai demi memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan yang penuh bermakna ini,” ujar ACP Kasim.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kota Kinabalu di talian 088-529288.






