LAHAD DATU: Dua lelaki cedera melecur di bahagian tangan dan kaki dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebahagian sebuah rumah di IJ Silam Villa, di sini malam semalam.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam melalui talian MERS999.
Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai, dengan jentera tiba pada jam 7.56 malam.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 60×60 kaki dan dianggarkan 30 peratus musnah dalam kejadian itu.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air dari jentera bomba,” kata pegawai jurucakap.
Dua mangsa lelaki, masing-masing berusia lingkungan 40-an dan 20-an, dilaporkan melecur di bahagian kaki dan tangan.
Mereka menerima rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi terkawal pada jam 8.10 malam dan tamat sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.






