KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menghalang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.
Namun pihak penganjur diingatkan supaya tidak menyentuh isu-isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda dalam surat maklum balas kepada penganjur menasihatkan agar perhimpunan dikendalikan secara aman dan teratur, tanpa sebarang provokasi atau gangguan kepada ketenteraman awam.
Sementara itu, penganjur perhimpunan yang dikenali sebagai Suara Mahasiswa UMS menyifatkan maklum balas polis kali ini sebagai “luar biasa”.
“Ia perlu dibudayakan sebagai satu bentuk penghormatan terhadap hak berhimpun dan bersuara sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 dijangka bermula pada jam 1 petang di hadapan pusat beli-belah Suria Sabah, sebelum peserta berarak ke Lintasan Deasoka, Gaya Street dan meneruskan demonstrasi sehingga Ahad.
Penganjur turut mengekalkan tuntutan seperti tindakan tegas terhadap skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), reformasi institusi, penggantungan tugas kepada individu yang didakwa rasuah, serta membantah pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Perhimpunan kali ini dijangka disertai oleh mahasiswa, aktivis dan rakyat pelbagai lapisan masyarakat sebagai satu tekanan terhadap usaha pembanterasan rasuah di Sabah dan negara.
Polis menggesa semua peserta agar mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang perhimpunan berlangsung.






