UMNO Cermin Sejarah Sendiri, Bukan Bermain Watak Mangsa – Nizam

UMNO Cermin Sejarah Sendiri, Bukan Bermain Watak Mangsa – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membidas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin yang mendakwa UMNO bukan “alat politik” atau “pembeli janji palsu”.

Menurut Nizam, kenyataan itu bercanggah dengan sejarah UMNO sendiri, khususnya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 apabila UMNO didakwa mungkir janji untuk bertanding hanya di 27 kerusi tetapi akhirnya meletakkan calon di 41 kerusi.

“UMNO sepatutnya mencermin sejarah sendiri sebelum bercakap soal maruah dan pengkhianatan,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa GRS berhak memilih Ketua Menteri kerana memiliki jumlah kerusi tertinggi, selari dengan prinsip demokrasi. Dakwaan bahawa GRS sebagai “parti serpihan” dianggap tidak berasas dan bersifat memperlekeh usaha politik gabungan itu.

Nizam yang juga ADUN Apas mempersoal sikap berdiam diri UMNO terhadap insiden ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023, yang menyaksikan cubaan beberapa pimpinan UMNO menggulingkan kerajaan negeri.

“Rakyat sudah serik dengan skrip lama yang hanya tukar pelakon, bukan jalan cerita,” katanya, sambil menegaskan bahawa kuasa sebenar adalah di tangan rakyat menjelang PRN Sabah akan datang.