Lelaki Parah, Dmax Dipandu Terbabas Sendiri di Jalan Merakau, Ranau

Lelaki Parah, Dmax Dipandu Terbabas Sendiri di Jalan Merakau, Ranau

0
SHARE

RANAU: Seorang lelaki dilaporkan cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sendiri dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Merakau, Kampung Merakau, malam tadi.

Menurut kenyataan daripada Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada jam 11.10 malam melalui talian MERS999.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau yang terdiri daripada tujuh anggota termasuk seorang komander operasi, Mastin Suli dikejarkan ke lokasi sejauh empat kilometer daripada balai.

Jentera bomba tiba di lokasi dalam tempoh kurang satu minit selepas menerima panggilan.

Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax telah terbabas ke bahu jalan.

Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

“Mangsa merupakan seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah dan telah diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 11.22 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.26 tengah malam.

Selain pasukan bomba, dua anggota KKM turut terlibat dalam operasi berkenaan. Dua buah jentera digunakan, iaitu satu jentera FRT dan satu unit EMRS.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, khususnya pada waktu malam dan di laluan kampung yang gelap dan berliku.