
NABAWAN, SABAH – Tapak baharu Klinik Kesihatan Sepulot telah dikenalpasti bagi pembinaan semula fasiliti berkenaan.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, dahulu ada Klinik Kesihatan Sepulot yang sudah beroperasi sejak tahun 90-an.
“Namun demikian, pada dua tahun lepas bangunan berkenaan diisytiharkan tidak lagi selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) atas faktor pergerakan tanah.
“Perbincangan telah diadakan dengan Pejabat Daerah serta Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah (JTU) untuk mengenalpasti kawasan tapak baharu tidak jauh dari kawasan pekan yang lebih selamat dan sesuai.
“Tanah tersebut sedang melalui proses serahan JTU kepada pihak kesihatan dan apabila prosedur tersebut selesai, Kementerian Kesihatan Malaysia bolehlah menyenaraikan cadangan pembinaannya dalam Rancangan Pembangunan Malaysia.
“Kita akan mengusahakan agar pembinaan klinik ini diutamakan dalam pelan-pelan pembangunan yang akan datang,” katanya ketika ditemui media semasa Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepulot pada Sabtu.
Program berkenaan dianjurkan Rotary Club Of Likas Bay dengan kerjasama Hospital Keningau, Klinik Kesihatan Keningau, Hospital Universiti Malaysia Sabah, SMK Sepulot dan ditaja Arthur merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Malaysia.
Di samping itu, Arthur turut memaklumkan beberapa sesi perbincangan dengan Unit Perancangan Ekonomi Persekutuan telah diadakan agar pembinaan fasiliti tersebut diutamakan kerana sangat diperlukan untuk perkhidmatan kesihatan penduduk Sepulot.
“Cadangan pembinaan klinik akan mempertimbangkan banyak aspek dan menumpukan peningkatan kualiti perkhidmatan berbanding dahulu.
“Kita juga mengambilkira pertambahan bilangan penduduk dan potensi ekonomi pekan ini yang boleh menjadi persinggahan perjalanan ke Tawau, Kalabakan, Pegalongan seterusnya Kalimantan, Indonesia,” ujarnya lagi.
Program sehari berkenaan menyediakan perkhidmatan kesihatan umum, kanak-kanak, pemeriksaan gigi, mata, saringan kanser payu dara dan pangkal rahim serta pendidikan kebersihan. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ