PBRS Sambut Baik Kerjasama BN-PH Menjelang PRN Ke-17 Sabah

PBRS Sambut Baik Kerjasama BN-PH Menjelang PRN Ke-17 Sabah

0
SHARE
Arthur
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup ( Sumber Foto: Ihssn PBRS )

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyambut baik cadangan untuk Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah menjalin kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Presidennya, Datuk Joseph Arthur Kurup berkata formula itu merupakan bentuk kerjasama yang terbaik untuk mengekalkan formula Kerajaan Perpaduan yang terbukti telah menjamin kestabilan dan kemakmuran negara.

Katanya, kesepakatan BN-PH telah diterjemahkan melalui hubungan baik antara pimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh BN-PH di peringkat Persekutuan dengan kerjasama parti-parti politik lain seperti yang berlaku di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan PRK Mahkota.

“PBRS menyahut cadangan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, agar permuafakatan dan semangat kerjasama politik diantara BN-PH perlu diterjemahkan juga pada PRN Sabah yang akan datang.

“PBRS turut mengalu-alukan mana- mana parti lain yang mempunyai wawasan yang sama untuk kestabilan dan kemakmuran negara untuk turut menyertai kerjasama ini.

“Negara Malaysia sedang menikmati momentum pembangunan yang sangat positif. Ini dibuktikan melalui jumlah pelaburan yang sedang meningkat dan kedudukan ringgit yang semakin kukuh.

“Ini ditambah lagi dengan kemenangan Kerajaan Malaysia di Makahmah Agung Belanda ke atas tuntutan kumpulan Sulu yang telah menoktahkan tuntutan kumpulan Sulu ke atas Sabah dan mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia.

“Kini menjadi keutamaan untuk kita kekalkan perpaduan dan kestabilan ini melalui gabungan kerjasama politik yang kukuh dan terbukti terbaik untuk Sabah dan Malaysia,” katanya dalam sebuah kenyataan.