Bubar DUN Sabah: Sebagai Ketua Menteri, Saya Tentukan Nanti – Hajiji

Bubar DUN Sabah: Sebagai Ketua Menteri, Saya Tentukan Nanti – Hajiji

0
SHARE

PUTATAN: Di tengah spekulasi politik yang semakin hangat, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tampil memberi respons mengenai desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Mengulas soalan wartawan berhubung khabar angin mengenai pembubaran itu, Hajiji menegaskan bahawa keputusan membubarkan DUN adalah prerogatif beliau sebagai Ketua Menteri.

“Itu saya yang fikir itu. Orang lain jangan fikir sangatlah. Sebagai Ketua Menteri saya akan menentukan nanti,” katanya ketika ditemui media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di sini pada Rabu.

Beliau turut memberi bayangan bahawa pilihan raya negeri akan tetap diadakan tidak lama lagi.

“Tetapi jelas bahawa tidak berapa lama lagi kita akan mengadakan pilihan raya umum. Sama ada kita suka awal atau lambat, tetapi ia mesti diadakan. Jadi tunggu, kita serah balik kepada rakyat untuk memutuskan siapa kerajaan yang mereka mahu,” ujarnya lagi.

Apabila ditanya sama ada sudah ada rundingan rasmi berkenaan pembubaran DUN, Hajiji menjawab, perbincangan awal sudah diadakan.

“Perbincangan awal sudah ada, jadi kita muktamadkan dalam masa terdekat sebelum bubar,” jelasnya.

Namun begitu, ketika ditanya tentang peranan Barisan Nasional (BN) dalam perbincangan itu, Hajiji hanya memberikan jawapan ringkas,

“Kamu tanya lah BN, apa mereka mahu,” tegasnya.

Kenyataan ini memperkukuh lagi spekulasi bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 bakal diadakan dalam masa terdekat, dengan rundingan dalaman sedang berjalan untuk memuktamadkan hala tuju politik gabungan pemerintah negeri.