SEOUL – Korea Utara turut mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel, malah menyifatkan beliau sebagai lelaki tua nyanyuk.
AFP melaporkan bahawa Pyongyang dalam satu kenyataan turut menyertai kecaman dunia ke atas Trump dan menyifatkan keputusan itu merupakan satu tindakan kejam dan melulu.
“Trump yang merupakan seorang lelaki mental secara terbuka menyeru kemusnahan sepenuhnya ke atas negara berdaulat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tindakan ini tidak mengejutkan.
“Sebaliknya, langkah ini jelas menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa siapa sebenarnya pemusnah keamanan dunia dan keselamatan selain penyangak dalam masyarakat antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar Korea Utara.
Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah melancarkan ancaman peperangan selain sering menghina antara satu sama lain ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin meningkat susulan daripada ujian peluru berpandu dan roket sejak beberapa bulan lalu.
Menurut satu kenyataan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, Korea Utara sekeras-kerasnya mengutuk pengiktirafan AS itu selain menyuarakan sokongan dan perpaduan untuk negara Palestin dan Arab yang berjuang mempertahankan hak mereka.
“AS perlu bertanggungjawab atas keputusan yang melulu dan kejam itu,” kata kenyataan itu.