Seleweng Diesel, KPDN Sabah Serbu Stor Penyimpanan Barang Kawalan

Seleweng Diesel, KPDN Sabah Serbu Stor Penyimpanan Barang Kawalan

0
SHARE
Kpdn
Seorang pegawai KPDN sedang memeriksa barang sitaan ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Bantayan, Inanam, hari ini.

Hasil serbuan pada jam 3:00 petang itu, sebanyak 2,200 liter minyak diesel dalam tangki dan yang disyaki untuk dijual beserta hos getah dan pam elektronik bernilai RM10,830 telah disita.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Zulfamy Mat Udi, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pemilik barang kawalan di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

“Risikan telah dijalankan selama empat hari sebelum serbuan dijalankan.

“Berdasarkan keterangan awal, pemilik barang kawalan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.