GP Jepun Dibatalkan Buat Tahun Kedua Berturut-Turut Kerana Penularan COVID-19

GP Jepun Dibatalkan Buat Tahun Kedua Berturut-Turut Kerana Penularan COVID-19

0
SHARE
Saingan F1 GP Jepun di Litar Suzuka pada Oktober 2019 yang lalu...(Sumber Foto: AFP)

TOKYO, JEPUN – Formula Satu (F1) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Grand Prix (GP) Jepun dibatalkan lagi untuk tahun kedua berturut-turut berikutan ‘kerumitan berterusan’ yang dihadapi akibat penularan pandemik COVID-19.

Perlumbaan terbabit dijadual berlangsung di Suzuka pada 10 Oktober ini, namun F1 berkata kerajaan Jepun membatalkannya susulan situasi pandemik di negara terbabit.

Beberapa wilayah termasuk Tokyo sedang berada dalam situasi darurat.

“Keputusan diambil oleh kerajaan Jepun untuk membatalkan perlumbaan pada musim ini susulan kerumitan pandemik yang sedang berlaku di negara itu,” kata F1 dalam satu kenyataan yang dipetik AFP.

Sebelum ini, beberapa perlumbaan sudah dibatalkan termasuklah di Australia, China, Kanada dan Singapura. F1 bagaimanapun belum memutuskan bagaimana untuk mengisi kekosongan itu.

“F1 sedang meneliti kalendar yang sudahpun disusun semula dan akan mengumumkan maklumat akhir pada beberapa minggu ini…

“F1 sudah membuktikan pada tahun ini dan tahun 2020 di mana kami boleh menyesuaikan diri dan mencari jalan untuk ketidakpastian yang sedang berlaku serta teruja dengan minat yang ditunjukkan di beberapa lokasi tuan rumah bagi acara F1 pada tahun ini dan seterusnya,” tambah F1.

MotoGP yang seharusnya berlangsung pada Oktober ini sudah dibatalkan pada Jun lalu.

Litar Suzuka yang akan menyambut ulang tahun ke-60 pada 2022 sudah menganjurkan 31 GP sejak 1987 dengan juara dunia ditentukan di litar terbabit dalam 11 musim.

April lalu, promoter GP Jepun dan pemimpin F1 mengumumkan perlumbaan akan kekal di Suzuka sehingga 2024.