Kehadiran Bintang Pickleball Antarabangsa Jadi Pemangkin Pembangunan Bakat Sabah

Kehadiran Bintang Pickleball Antarabangsa Jadi Pemangkin Pembangunan Bakat Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kehadiran pemain pickleball antarabangsa termasuk Quang Duong dan Bao Duong pada kejohanan Sabah Open Pickleball Championship 2026 menjadi platform kepada pemain tempatan untuk mengasah kemahiran serta meningkatkan keyakinan bersaing di peringkat lebih tinggi.

Penganjur kejohanan daripada Replay Pickleball Club, Lamardani Jonaeli berkata, penganjuran kejohanan itu bertujuan membuka peluang kepada bakat tempatan di Sabah untuk melangkah ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kehadiran pemain antarabangsa turut memberi pendedahan kepada pemain tempatan untuk meningkatkan kemampuan masing-masing.

“Pemain tempatan dapat mengasah kemahiran dan meningkatkan keyakinan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi selepas ini,” katanya pada sidang media kejohanan berkenaan, di sini pada Khamis.

Lamardani berkata, kejohanan itu menghimpunkan seramai 538 pemain yang bakal bersaing dalam 11 kategori dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000.

Katanya, pihak penganjur turut berharap dapat memperluaskan skala kejohanan pada tahun hadapan dengan menambah kategori pertandingan serta menarik lebih ramai pemain dari Malaysia dan luar negara.

Beliau berkata, Replay Pickleball Club juga komited untuk terus menjadi hab penganjuran Sabah Open dan berharap kejohanan berkenaan dapat diadakan setiap tahun.

Sementara itu, penaja dan penganjur bersama kejohanan daripada Borneo Vision Holidays, Wilson Ngu Siong Yiung berkata, penglibatan pihaknya didorong oleh hasrat memanfaatkan perkembangan pesat sukan pickleball sebagai platform mempromosikan Sabah melalui pelancongan sukan.

Menurutnya, sukan dan pelancongan mempunyai hubungan yang saling melengkapi, manakala populariti pickleball di seluruh dunia membuka peluang untuk memperkenalkan Sabah kepada masyarakat antarabangsa.

“Bagi kami, jawapannya mudah sahaja. Kami mahu buat pelancongan sukan, sukan ditambah dengan pelancongan.

“Pickleball sedang berkembang pesat di seluruh dunia, jadi kami mahu mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan Sabah,” katanya.

Wilson berkata, usaha membawa pemain antarabangsa ke Sabah juga bertujuan memberi peluang kepada masyarakat tempatan menyaksikan permainan pickleball pada tahap antarabangsa.

Dalam pada itu, pemain antarabangsa, Quang Duong berkata, perkembangan sukan pickleball di Asia Tenggara berlaku dengan sangat pantas kerana ramai pemain mempunyai latar belakang dalam sukan raket seperti tenis, pingpong dan badminton.

Katanya, pengalaman dalam sukan berkenaan memudahkan pemain menyesuaikan diri dengan corak permainan pickleball serta membangunkan gaya permainan tersendiri.

Beliau turut menasihatkan pemain muda yang bercita-cita menjadi atlet profesional supaya terlebih dahulu membangunkan kemahiran dalam sukan raket lain sebelum memberikan tumpuan kepada pickleball.

Sementara itu, bapa kepada Quang Duong dan Bao Duong, Duc Duong berpandangan bahawa Malaysia perlu memberikan lebih perhatian kepada pembangunan pemain tempatan bagi memastikan sukan pickleball terus berkembang.

Menurutnya, kehadiran pemain antarabangsa untuk menyertai pertandingan merupakan sesuatu yang baik, namun pembangunan pemain tempatan tetap penting untuk memastikan pertumbuhan sukan itu dapat diteruskan.

Beliau turut melihat Sabah mempunyai potensi menjadi destinasi pickleball bertaraf dunia seperti Da Nang di Vietnam dan Cebu di Filipina sekiranya mendapat kerjasama yang baik antara kerajaan dan penganjur.

Dalam perkembangan sama, pemain pickleball Sabah, Stefan Alex berkata, kehadiran bintang antarabangsa meningkatkan motivasi pemain tempatan untuk menguji kemampuan masing-masing.

Katanya, terdapat pemain peringkat pertengahan yang sanggup menyertai kategori Terbuka semata-mata untuk berpeluang menentang pemain antarabangsa.

Beliau turut menyifatkan tahap permainan pickleball di Sabah semakin meningkat berbanding setahun lalu apabila lebih ramai pemain mula memahami teknik dan corak permainan sukan berkenaan.