Lelaki Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Selepas Dilaporkan Hilang di Kota Belud

Lelaki Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Selepas Dilaporkan Hilang di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas berusia 92 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam di Kampung Sogo Narinang, Kota Belud, telah ditemui meninggal dunia di tepi sungai, kira-kira 19 kilometer dari rumahnya pagi ini.

Mangsa, Sami Biu, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun pada jam 8.00 pagi, 2 Oktober 2025.

Kehilangannya disedari oleh ahli keluarga sekitar jam 5.00 petang hari yang sama sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 malam dan menggerakkan lima anggota ke lokasi sejauh 20 kilometer.

Komander Operasi, PBK I Suffian Aban, bersama Komander Operasi Kanan PPgB Elge Bakuk, tiba di lokasi pada jam 8.19 malam dan mengesahkan kejadian kehilangan tersebut.

Pencarian awal dilakukan di sekitar kawasan terakhir mangsa dilihat. Namun, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 9.22 malam berikutan keadaan gelap dan akan disambung keesokan harinya.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Hari Kedua bermula pada jam 7.07 pagi (3 Oktober) melibatkan tujuh anggota bomba, sebuah jentera EMRS dan sebuah pacuan empat roda (Vigo).

Tidak lama selepas itu, pada jam 7.43 pagi, mangsa ditemui oleh penduduk kampung di tepi sungai kira-kira 19 kilometer dari rumahnya.

Pasukan penyelamat kemudian mengangkat mangsa menggunakan pengusung (stretcher) dan menyerahkannya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.54 pagi.

Turut membantu dalam operasi ialah dua anggota PDRM.

Punca sebenar kematian mangsa akan disiasat oleh pihak polis.